Oleh Dr. Hazwani Rahmat

PAGOH – Projek akhir program Diploma Teknologi Maklumat, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang menerapkan konsep pembelajaran berasaskan projek secara global (gPBL) berjaya menghasilkan inovasi bernilai komersial.

Pembelajaran berasaskan gPBL itu melibatkan kerjasama antarabangsa melalui memorandum persefahaman (MoU) bersama Institut Teknologi Shibaura (SIT), Jepun.

Menurut Penyelaras Projek Diploma Teknologi Maklumat, Ts. Dr. Shelena Soosay Nathan majoriti pelajar membangunkan projek aplikasi perisian berkumpulan bernilai komersial pada tahun akhir pengajian.

Tambah beliau, projek akhir itu meliputi aplikasi IoT, mudah alih, sesawang, perisian dan juga multimedia.

Projek yang dibangunkan menumpukan kepada isu kanak-kanak dan golongan dewasa kurang upaya khususnya berkaitan diskalkulia, autisma, pekak dan bisu, kurikulum sekolah rendah, bencana alam seperti banjir dan kesihatan seperti penyakit umum kanak-kanak mahupun pandemik.

“Antara teknologi yang digunakan dalam pembangunan projek adalah RFID, pengecaman cap jari, realiti maya (VR), realiti terimbuh (AR), dan sistem kedudukan global (GPS).

“Manakala pembangunan projeknya pula melibatkan usahasama dari komuniti berhampiran kampus UTHM Pagoh seperti sekolah kebangsaan, klinik swasta, ketua kampung dan jabatan kerajaan.

“Dokumentasi projek pula diterbitkan dalam bentuk artikel penyelidikan Multidisciplinary Applied Research and Innovation (MARI), UTHM,” jelas beliau.

Pada tahun ini, 48 projek telah dinilai oleh pensyarah Jabatan Teknologi Maklumat, PPD.

Daripada jumlah tersebut, 10 projek terbaik telah dibawa ke peringkat penilaian antarabangsa yang dinilai oleh dua juri daripada SIT, dua juri daripada Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan seorang juri dari UOW Malaysia KDU University College.

Projek terbaik tersebut juga dilanjutkan ke program Advanced Global Project Based Learning (AgPBL) 3.0 yang bertemakan “Towards Research and Project Develop” anjuran bersama Kumpulan Fokus ITecH, Jabatan Teknologi Maklumat, PPD.

Program di bawah kelolaan Dr. Shelena  dengan kerjasama SIT, Jepun dan KLS Gogte Institute of Technology, India itu disertai oleh pelajar dan ahli akademik dari ketiga-tiga institusi.

Sebilangan projek juga dibawa ke program peringkat kebangsaan seperti Simposium Nasional Interaksi Manusia Komputer (Fusion 2022).

Hasilnya, projek “Sistem Pakar Penilaian Penyakit Umum Kanak-Kanak Dalam Talian” di bawah seliaan Dr. Hazwani Rahmat berjaya meraih pingat emas bagi kategori ‘Pertandingan Reka Bentuk Pelajar.’

Manakala projek “Pembantu Pintar Kasut Bagi Golongan Cacat Penglihatan” di bawah seliaan Dr. Shelena pula berjaya meraih pingat perak bagi kategori yang sama.

“Pelaksanaan projek akhir melalui kaedah gPBL ini berupaya menerapkan nilai kerjasama berkumpulan dalam kalangan pelajar, menghasilkan projek bernilai komersial, membuka peluang mobiliti pelajar pada masa akan datang, serta menyediakan pelajar dengan kemahiran ke arah penyelidikan sekiranya mereka melanjutkan pengajian,” kata Dr. Shelena.  

 

Sesi google meet Pertandingan Rekabentuk Pelajar di Simposium Kebangsaan Interaksi Manusia Komputer 2022.