Oleh Muhamad Shafiq Nor Mazlan

BATU PAHAT, 26 Okt 2022 – Penganjuran International Research and Innovation Symposium and Exposition (RISE) 2022 kali kelima menyaksikan sebanyak 61 pingat emas berjaya diraih daripada 212 penyertaan.

Manakala selebihnya sebanyak 137 pingat perak dan 14 pingat gangsa berjaya dirangkul oleh para peserta yang bertanding.

Keseluruhan penyertaan terdiri daripada 131 pelajar dan 38 staf dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), manakala 43 lagi disertai oleh penyelidik dari pelbagai institus pengajian tinggi dalam dan luar negara.

RISE yang menjadi acara tahunan UTHM ini telah dilaksanakan secara dalam talian bermula 1 Ogos hingga 20 Oktober lalu.

Penganjurannya bertujuan untuk mempamerkan produk penyelidikan yang telah dihasilkan oleh para penyelidik selain sebagai platform untuk berkongsi idea berkaitan inovasi dan penemuan baharu bagi tujuan pengkomersialan.

Naib Canselor UTHM, Profesor Ts. Dr. Ruzairi Abdul Rahim dalam ucapannya menyeru para penyelidik dan pereka agar sentiasa berpegang teguh kepada komitmen dalam menjalankan penyelidikan dan inovasi.

“Hasil penyelidikan dan inovasi ini perlu disebar luas untuk manfaat masyarakat dan pihak industri selaras dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju yang mampu bersaing dengan negara lain,” katanya.

Setiap penyertaan dinilai mengikut tiga kategori iaitu Fundamental, Innovation dan Commercialization serta 12 kluster iaitu Environment and Renewable Energy (ERE), Agriculture and Aquaculture (AA), Industrial Design, Building Engineering and Architecture (IDBEE), Disaster Management (DM), Education, Community Development and Social Innovation (ECDSI), Health, Medical, Pharmaceutical, Food and Supplement (HMPFS), Digital Era, Data Analysis and Automation Revolution (DEDAAR), Manufacturing Technologies, Food Processing and Mechanization (MTFPM), Automobile, Aeronautical and Maritime Technology (AAMT), Tourism, Travel and Tours (TTT), Rural Innovation (RI) dan Islamic Innovation (II).

Beliau berharap penganjuran RISE saban tahun itu berupaya merancakkan lagi aktiviti penyelidikan dan inovasi yang semakin berkembang di Malaysia sekali gus mampu menyumbang kepada pembangunan negara,” katanya.