UTUSAN MALAYSIA 30 September 2022

 

SAUDARA PENGARANG,

PEPERANGAN di Ukraine memberi kesan yang agak besar terhadap harga pasaran minyak dunia. Malaysia tidak terkecuali menerima tempiasnya, apatah lagi kos yang terpaksa ditanggung oleh kerajaan untuk menampung subsidi terutamanya RON 95.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz turut melahirkan kebimbangan dan mengumumkan cadangan untuk membuat kajian bagi menangani kenaikan kos minyak ini.

Tidak dinafikan, kenaikan harga minyak bakal memberi kesan besar terhadap kos sara hidup rakyat. Sudah tentu majoriti akan membuat perancangan dan pelarasan semula bajet bulanan.

Dalam sektor pengangkutan, kenaikan harga minyak memberikan impak yang pelbagai.

Bagi yang tinggal di kawasan bandar seperti di Lembah Klang, mereka mungkin ada pilihan pengangkutan awam, manakala mereka yang mempunyai kenderaan kedua yang lebih ekonomi, ia boleh digunakan.

Bancian yang dijalankan penyelidik Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) mendapati penduduk kawasan bandar di Lembah Klang dan Melaka lebih cenderung untuk membuat perubahan terhadap corak perjalanan dengan menukar saiz kenderaan kepada yang lebih ekonomi seperti motosikal atau kereta bersaiz kecil.

Selain itu tinjauan mendapati mereka bakal mengurangkan jumlah kekerapan perjalanan sebagai satu usaha penjimatan kos harian.

Tidak ketinggalan juga, jumlah mereka yang memilih berkongsi kenderaan untuk ke tempat kerja didapati meningkat.

Satu sektor yang dilihat sepatutnya mendapat manfaat daripada kenaikan harga petrol ialah pengangkutan awam. Sejak Covid-19 melanda, perkhidmatan pengangkutan bas dan kereta api di negara ini menyaksikan penurunan besar jumlah penumpang.

Peningkatan harga minyak dilihat telah membantu mempertingkatkan bilangan penumpang untuk mod pengangkutan ini apabila penduduk bandar cenderung beralih atau mempertingkatkan kekerapan menggunakan kenderaan awam.

Sementara disebabkan pilihan yang terhad bagi penduduk luar bandar, maka mereka tetap melakukan corak perjalanan seperti biasa. Mahu tidak mahu mereka terpaksa menanggung beban kewangan untuk kelangsungan hidup.

Untuk berkongsi kenderaan, mereka berpendapat agak sukar kerana tidak ramai yang menuju ke lokasi sama. Namun, mereka bersyukur sekurang-kurangnya masih mempunyai kenderaan persendirian dan tidak perlu berhadapan dengan kesesesakan jalan raya yang pastinya memerlukan penggunaan petrol tambahan.

Artikel ini juga diterbitkan di:

1. utusan.com, 30 September 2022 : https://www.utusan.com.my/rencana/forum/2022/09/penduduk-luar-bandar-bandar-sama-terkesan-harga-minyak-naik/

2. melaysiakini.com, 30 September 2022 : https://www.melaysiakini.com/penduduk-luar-bandar-bandar-sama-terkesan-harga-minyak-naik-58089.html

 

PROFESOR MADYA DR. MUNZILAH MD. ROHANI & FATIN LYANA RAHIMI

Pusat Kajian Pemanduan Pintar (SDRC)

Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina (FKAAB)

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)