Utusan Malaysia | 28 September 2022 :

SAUDARA PENGARANG,

UNIVERSITI ialah institusi pengajian tinggi yang menyediakan persekitaran dan kemudahan untuk pengajaran dan pembelajaran serta penyelidikan selain diberi kuasa memberi ijazah akademik kepada pelajar atau mahasiswa.

Dengan kata lain, universiti sebagai tempat tumpuan pengajaran dan pembelajaran serta penyelidikan, penemuan ilmu dan pengetahuan baharu bagi membantu mengembangkan pertumbuhan induvidu dan komuniti serta berperanan meningkatkan kualiti hidup dan memupuk daya saing ekonomi. Ini secara jelas menerangkan bahawa tiga nilai teras utama bagi sesebuah universiti ialah manusia, alam sekitar dan kewangan.

Menjadi tanggungjawab tampuk kepimpinan universiti untuk memberi pengiktirafan dan mengangkat martabat kakitangan di setiap peringkat pentadbiran dengan menggalakkan pembangunan kerjaya melalui merit yang besar.

Di samping itu, pelajar adalah aset yang tidak kurang pentingnya. Mereka sewajarnya diberikan peluang bukan sahaja untuk menimba ilmu pengetahuan malah meluaskan pengalaman dalam pembangunan diri melalui kemahiran teknikal dan insaniah dengan menyertai pelbagai program dan aktiviti dianjurkan di luar dewan kuliah.

Alam sekitar atau persekitaran semula jadi dan buatan mempunyai hubungan rapat dengan kelestarian manusia. Maka sangat penting untuk kepimpinan universiti menjaga dan menghormati anugerah alam yang tidak ternilai ini dengan baik dan sempurna.

Pembiayaan atau sumber kewangan adalah nilai teras ketiga yang mana jumlah peruntukan yang diperoleh sesebuah universiti akan menentukan kitaran keseimbangan operasi universiti.

Oleh itu, strategi kepimpinan dan nilai teras sesebuah universiti dapat dilihat dengan jelas apabila kewujudannya dihargai oleh masyarakat setempat dan diiktiraf oleh para ilmuan serta masyarakat dunia.

Artikel ini juga diterbitkan di ;

1. utusan.com, 28 September 2022 : https://www.utusan.com.my/rencana/forum/2022/09/3-nilai-teras-setiap-universiti-perlu-ada/

2. melaysiakini.com, 28 September 2022 : https://www.melaysiakini.com/3-nilai-teras-setiap-universiti-perlu-ada-57783.html

Prof. Sr. Ts. Dr. Haji Lokman Hakim bin Haji Ismail

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni)

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)