UTUSAN MALAYSIA 30 September 2022 :

Oleh INTAN SUHANA CHE OMAR

PERTEMBUNGAN antara haiwan liar dan manusia tidak seharusnya dipandang enteng kerana dikhuatiri bakal memberikan kesan yang lebih dahsyat pada masa akan datang.

Kebimbangan itu disuarakan Penyelidik Utama Unit Penyelidikan Pengurusan dan Pemuliharaan Alam Sekitar (Encore) Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Dr. Nazirah Mohamad Abdullah yang berpendapat, krisis berkenaan hanya merugikan kedua-dua belah pihak.

Manusia akan diselubungi rasa takut dengan ancaman haiwan liar dan ganas, manakala haiwan pula terus ‘terdesak’ untuk meneruskan hidup dan diancam kepupusan.

“Untuk mengekang serangan haiwan ini, manusia akan mencuba pelbagai cara, termasuk membunuh haiwan ini.

“Manakala, haiwan pula bukan sahaja kehilangan habitat, malah terpaksa keluar daripada zon selesa dan mengubah tingkah laku semula jadi mereka untuk memastikan kemandirian hidup. Maka, terjadilah pencerobohan ke kawasan manusia.

“Lebih buruk lagi, haiwan kehilangan diet utama dan terpaksa menyerang manusia bagi memenuhi tuntutan diet mereka. Ini yang amat dikuatiri,” katanya kepada Utusan Malaysia mengulas mengenai pertembungan antara manusia dan haiwan liar yang mencetuskan panik dan kebimbangan dalam kalangan masyarakat ketika ini.

HABITAT TERANCAM

Antara punca mendorong ~ kepada krisis berkenaan ialah fragmentasi habitat.

Ia berlaku apabila sebahagian besar habitat dimusnahkan dan hanya sebahagian kecil habitat ditinggalkan, tetapi tidak berhubung di antara satu sama lain yang turut dikenali sebagai habitat patches.

NAZIRAH MOHAMAD ABDULLAH

“Fragmentasi habitat biasanya berlaku bertujuan memberi laluan kepada pembinaan jalan raya dan disebabkan oleh aktiviti penanaman.

“Fragmentasi habitat menyukarkan pergerakan haiwan di antara habitat-habitat kecil yang telah dipecahkan dan tidak bersambung. Hasilnya, kita disajikan dengan pelbagai berita seperti kemalangan maut yang disebabkan oleh pertembungan haiwan liar seperti harimau dengan kenderaan di lebuh raya,” katanya.

Haiwan liar lain yang turut terkesan disebabkan oleh pengecilan habitat ialah haiwan yang mempunyai kawasan rayau yang luas seperti gajah.

MONYET dan kera antara yang banyak muncul di kawasan penempatan.

“Berita mengenai gajah merosakkan tanaman sudah acap kali kita dengar dan permasalahan ini berakar umbi disebabkan oleh ketiadaan penyelesaian yang efisien di antara pertembungan lokasi haiwan dan manusia,” ujarnya lagi.

LALUAN BAHARU

Perkara berkenaan wajar ditangani segera sebelum ia semakin membarah.

Secara teori katanya, kesan fragmentasi habitat boleh dikurangkan dengan beberapa langkah wajar seperti menghentikan terus sebarang aktiviti penebangan hutan yang akan mengecilkan lagi fragmentasi habitat sedia ada untuk satu jangka masa.

“Perlu jangka masa kerana kita tidak boleh menidakkan pembangunan,” katanya yang turut menekankan bahawa pembangunan tetap merupakan elemen penting dalam sesebuah negara. 

“Secara teorinya, kesan fragmentasi habitat boleh dikurangkan dengan beberapa langkah wajar seperti menghentikan terus sebarang aktiviti penebangan hutan…”

Habitat kecil terbentuk akibat daripada fragmentasi itu boleh dihubungkan melalui pembinaan koridor hidupan liar atau wildlife corridor seperti yang sudah dilakukan di negara ini di bawah projek Central Forest Spines (CFS).

Projek itu bertujuan untuk membina semula, mengekalkan dan meningkatkan hubungan di antara baki kawasan hutan utama di Semenanjung Malaysia, yang membolehkan wujudnya satu rangkaian hutan secara fizikal dan bersambung di sepanjang kawasan CFS.

Terbaharu, Encore juga sedang giat mengusahakan projek laluan baharu bagi gajah. Projek diketuainya itu menggunakan teknologi Aplikasi Geomatik 3 serangkai yang terkini iaitu sistem penentududukan (GPS), perolehan data imej satelit atau lidar atau drone dan membuat pemantauan melalui analisis spatial dengan menggunakan Sistem Maklumat Geografi (GIS).

“Kumpulan penyelidik dari Encore turut melaksanakan projek kebajikan yang menitikberatkan ekologi hidupan liar. “Kejayaan projek pemuliharaan ekologi hidupan liar adalah sangat bergantung kepada kerjasama yang diberikan oleh pelbagai pihak. Untuk ini Encore, UTHM bersedia bekerjasama dengan mana-mana agensi, dalam dan negara,” katanya.

Berita ini juga diterbitkan di:

1. utusan.com, 30 September 2022 : https://www.utusan.com.my/gaya/2022/09/krisis-haiwan-dan-manusia-pakar-minta-hentikan-penebangan-hutan/

2. melaysiakini.com, 30 September 2022 : https://www.melaysiakini.com/krisis-haiwan-dan-manusia-pakar-minta-hentikan-penebangan-hutan-58109.html

Krisis Manusia dan Haiwan, Merugikan Semua Pihak

3. samudera.my, 2 Oktober 2022 : https://www.samudera.my/krisis-manusia-dan-haiwan-merugikan-semua-pihak/