BATU PAHAT – Bagi melestarikan pengurusan dan penyelenggaraan fasiliti dan kemudahan awam di kawasan kejiranan komuniti setempat, sembilan penyelidik, Pusat Kecemerlangan Pengurusan Fasiliti (CeFM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), telah melaksanakan kajian membangunkan profil fasiliti awam di kawasan kejiranan komuniti di daerah Batu Pahat.

Bagi menghasilkan profil fasiliti awam ini, maka satu kajian audit fasiliti awam telah dilaksanakan selama enam bulan bermula November 2021 melibatkan lima mukim dan 54 kampung sekitar kawasan Parit Sulong, Batu Pahat.

Kajian yang diketuai oleh Sr Dr. Rozilah Kasim ini turut melibatkan pemegang taruh yang terdiri daripada lima penghulu mukim, Majlis Daerah Yong Peng, Majlis Perbandaran Batu Pahat, Pejabat daerah Batu Pahat, Jabatan Perparitan dan Saliran Batu Pahat dan Jabatan Kerja Raya Batu Pahat.

Dr. Rozilah berkata pandemik Covid-19 yang melanda dunia lebih dua tahun telah menyebabkan beberapa tempat fasiliti awam menjadi terbiar, rosak dan tidak diselenggara dengan baik sehingga menjadi tempat yang tidak lagi selamat untuk digunakan.

“Apabila sesebuah tempat yang telah dibangunkan ini tidak dimanfaatkan dan diselenggara dengan baik maka fasiliti ini terdedah kepada kerosakan dan menyumbang kepada pembaziran dana awam,” katanya.

Fenomena ini turut menjadi satu cabaran utama kepada pihak-pihak yang terlibat dalam pengurusan dan penyelenggaraan fasiliti awam di kawasan kejiranan komuniti.

Persoalan yang timbul, adakah fasiliti awam sedia ada di kawasan kejiranan komuniti ini masih selamat digunakan dan diselenggara dengan baik?

Justeru itu, kerja-kerja profil fasiliti awam ini mengguna pakai senarai semak FMAudit-Tool yang dibangunkan oleh CeFM, UTHM.

Tahap penyelenggaraan 13 jenis bangunan fasiliti awam termasuk surau, masjid, fasiliti sukan, dewan komuniti, balai raya, tandas awam, tempat menunggu bas telah berjaya disaring dan diprofil mengikut kampung dan mukim.

Menurut Dr. Rozilah, kajian ini dilakukan sebagai usaha membangunkan profil fasiliti awam di kawasan kejiranan untuk kelestarian pengurusan dan penyelengaraan aktiviti fasiliti awam oleh pihak-pihak yang terlibat.

Tambah beliau usaha ini juga bagi meningkatkan kesedaran komuniti terhadap kelestarian kawasan kejiranan yang kondusif, selesa dan selamat untuk didiami.

“Kelestarian fasiliti awam komuniti setempat yang kita nikmati pada hari ini adalah pinjaman daripada generasi masa depan.

“Oleh itu adalah menjadi tanggungjawab generasi masa kini untuk memeliharanya sebaik mungkin,” katanya.

 

 

Senarai penyelidik terlibat:

Prof. Madya Sr Dr. Rozilah Kasim (Ketua)

Prof. Madya Dr. Azlina Md Yassin

Prof. Madya Dr. Rozlin Zainal

Prof. Madya Dr. Narimah Kasim

Dr. Khadijah Md Arrifin

Puan Syarifah Meryam Shareh

Sr Dr. Mohd Hafizal Ishak

Dr.  Hamidon Mohd Noh

Ts. Dr. Mohd Hilmi Izwan Abd Rahim

 

Berita ini juga telah diterbitkan di :

1. malaysiagazette.com, 15 September 2022 : https://malaysiagazette.com/2022/09/15/penyelidik-uthm-hasilkan-profil-fasiliti-awam-batu-pahat/