Profesor Ts. Dr. Zaidi Embong yang merupakan ahli Majlis Profesor UTHM dari Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah dijemput untuk berkongsi ilmu bersama 42 penyelidik dari dalam dan luar negara melalui program Instrumentation Webinar pada 29 September 2022 lalu.

Penganjuran webinar oleh Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Instrumentasi (CRIM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu melibatkan penyertaan penyelidik dari beberapa institusi pendidikan iaitu Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Sains Malaysia, Universiti Teknologi Mara, Universiti Putra Malaysia, Universiti Teknologi Malaysia, Nottingham Malaysia, UniKL-RCMP, MIMOS, Institut Teknologi Bandung (ITB) dan Universitas Negeri Jakarta.

Prof. Zaidi yang juga penyelidik utama di Pusat Penyelidikan Tanah Lembut (RECESS) turut menjadi pakar rujuk untuk sistem peralatan analisis permukaan bahan, Spektrosopi Fotoelekton Sinar-X (XPS) di Malaysia.

Menurut Prof. Zaidi, Sistem XPS yang bernilai jutaan ringgit itu merupakan satu sistem analisis pencirian sifat kimia permukaan bahan yang tercanggih dan antara termoden di negara ini.

“Ianya berfungsi sebagai satu sistem peralatan penting untuk bidang sains permukaan bahan yang beroperasi pada keadaan vakum lampau tinggi (UHV) pada tekanan 10-10 Torr.

“Ia amat berguna bagi pencirian sifat kimia permukaan bahan pada julat ketebalan berskala nanometer, yang melibatkan pelbagai jenis sampel kajian seperti filem nipis, katalis, lapisan anti pengkaratan logam dan aloi, bahan semikondutor serta fiber optic,” katanya.

Melalui webinar ini, perserta telah diberikan pendedahan mengenai teori asas bidang sains permukaan bahan dan juga aplikasi sistem Spektrosopi Fotoelekton Sinar-X (XPS) dalam bidang penyelidikan dan industri.

Selain itu, webinar ini juga memberi tumpuan kepada aspek yang paling penting dalam analisis XPS iaitu dekonvolusi spektrum XPS menggunakan perisian utama yang dikenali sebagai “Computer Aided Surface Analysis for X-ray Photoelectron Spectroscopy (CasaXPS)”.

Perkongsian kepakaran seumpama ini mampu memberi peluang kepada UTHM untuk melebarkan jaringan kolaborasi STEM yang melibatkan aplikasi sistem XPS dengan lain-lain institusi pada masa akan datang.