UTHM bantu komuniti Parit Jawa tingkat pengetahuan tentang pengurusan sisa makanan

Perasmian Program Kluster Kampung Angkat dan Program Inovasi Bebola Daging daripada Sisa Durian disempurnakan oleh Penghulu Mukim Parit Jawa, Muar, Tuan Mohd Afezan Yahya.

Oleh Dr. Siti Fatimah Zaharah Mohd Fuzi

MUAR, 13 Ogos 2022 – Bagi mewujudkan kesedaran dan meningkatkan pengetahuan masyarakat tentang pengurusan sisa makanan dan kaedah penyelesaian yang boleh dijalankan bersama, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dengan komuniti Parit Jawa yang diketuai Penghulu Mukim Parit Jawa, Muar, Johor, Tuan Mohd Afezan Yahya telah melaksanakan satu program inovasi bertempat di Kompleks Penghulu Mukim Parit Jawa Muar, Johor.

Menurut pengarah program, Aina Aqilah Masri program ini merupakan satu projek Service Learning Malaysia-University for Society (SULAM) bertujuan untuk memberi pengetahuan dan pengalaman kepada pelajar dan komuniti setempat tentang bagaimana sisa makanan diuruskan dengan lebih terperinci serta menjalankan praktikal tentang penambahan nilai sisa makanan kepada produk yang berguna, yang mampu menyumbang ke arah kelestarian alam.

Program inovasi tersebut melibatkan aktiviti mengurangkan sisa durian dan menukarkannya kepada produk boleh dimakan iaitu bebola daging.

“Sebanyak 70 hingga 75 peratus bahagian durian dapat digunakan untuk dijadikan produk makanan dengan penambahbaikan pada masa hadapan,” jelas beliau.

Program ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada penduduk setempat sekali gus memberi idea dan alternatif baharu kepada mereka untuk menguruskan sisa makanan.

Tuan Mohd Afezan Yahya dalam ucapan perasmiannya berkata pelaksanaan program seumpama ini perlu diteruskan bagi mewujudkan kampung rendah karbon khususnya di Johor.

Manakala penasihat program, Dr. Siti Fatimah Zaharah Mohd Fuzi yang juga pensyarah Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST) pula berkata antara isu sejagat yang memberi impak terbesar global ialah perubahan iklim semasa.

“Ia memberi impak secara langsung kepada agroekosistem, yang seterusnya mempunyai potensi kesan ke atas pengeluaran pertanian, yang memacu kesan ekonomi dan sosial, dan ini memberi kesan kepada mata pencarian.

“Jaminan keselamatan makanan dalam menghadapi perubahan iklim adalah antara cabaran yang perlu diatasi secara holistik di peringkat negara dan juga masyarakat,” katanya.

Tambah Dr. Siti Fatimah, salah satu inisiatif kerajaan dalam menghadapi perubahan iklim mendadak adalah mengurangkan pelepasan sumber karbon yang berkait secara langsung dengan perubahan iklim serta pewujudan bandar-bandar rendah karbon.

“Inisiatif seumpama ini sangat berpotensi dan menguntungkan kerana ia turut membuka peluang peningkatan sumber ekonomi yang bernilai kepada masyarakat setempat,” katanya.

Turut hadir ke program tersebut, Ts. Dr. Muhammad Abdul Latiff Abu Bakar, Ts. Dr. Suliadi Firdaus Sufahani, Ketua Jabatan Pemerkasaan Bakat Pelajar (PBP), Ts. Dr. Suhadir Shamsuddin, Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) FAST serta Mohd Ilham Norhakim Lokman, saintis masyarakat Muar, para pelajar jurusan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Makanan (dengan kepujian), para pelajar baharu program diploma UTHM, komuniti setempat dan wakil industri Haza Food Sdn. Bhd., Mohd Asri Faisal selaku juri masakan.

 

Pelajar memberi penerangan tentang perjalanan Program Inovasi Bebola Daging sebelum pelajar dan komuniti setempat menyertai pertandingan menghasilkan bebola daging beramai-ramai.

Para juri merasai bebola daging daripada sisa durian untuk sesi pemarkahan.

 

Categories
Sains Gunaan dan TeknologiSosial , Kebajikan dan Masyarakat