Oleh Ir. Dr. Ahmad Hamdan Ariffin, Nizam Katimon dan Ir. Ts. Maznan Ismon

SIMPANG RENGGAM – Bagi meneruskan inisiatif perkongsian ilmu bersama komuniti, Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FKMP), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menyertai program “STEM-4IR Aviation, Aerospace & Drone Automation” anjuran Kelab Rakan Udara Malaysia (KRUM) pada 28 Ogos 2022 lalu.

Program yang diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Simpang Renggam itu bertujuan untuk menarik minat dan mendedahkan pelajar tentang pengetahuan dan kerjaya berkaitan penerbangan, aeroangkasa dan automasi dron.

Selain UTHM, program yang melibatkan penyertaan enam sekolah sekitar Simpang Renggam itu turut menjemput beberapa organisasi lain seperti Pertubuhan Makmur Johor Simpang Renggam, TNB ILSAS, Juruterbang Malaysia Airlines, Space Tech Division UNIKL MIAT dan Aerofly Johor RC Club sebagai penganjur bersama.

FKMP diwakili oleh Ir. Dr. Ahmad Hamdan Ariffin dari Research Centre for Unmanned Vehicle (ReCUV) serta rakan fakulti Nizam Katimon dan Ir. Ts. Maznan Ismon untuk berkongsi ilmu berkaitan peluang kerjaya dan pengetahuan berkaitan penerbangan, aeroangkasa dan dron.

Selain itu, FKMP turut mengadakan pameran bagi memberi peluang kepada pelajar mendapat maklumat lebih lanjut berkaitan UTHM.

Antara aktiviti lain yang turut dijalankan sepanjang program ini ialah sesi ceramah, pameran teknologi dron, simulasi penggunaan dron dan demonstrasi penerbangan kawalan jauh oleh KRUM dan Aerofly Johor RC Club.

FKMP berharap perkongsian ilmu melalui program seumpama ini dapat menyemarakkan lagi aktiviti penyelidikan dan pengkomersialan dron di UTHM serta perkongsian ilmu kepada masyarakat dalam merealisasikan aspirasi universiti ke arah GTU2030.