BATU PAHAT – Program Service-Learning Malaysia (SULAM): International ErgoQUIZ@School 2025 berjaya menarik minat peserta dari Malaysia, Indonesia dan Brunei apabila seramai 2434 pelajar dari pelbagai sekolah menyertai program tersebut.

Daripada jumlah tersebut, seramai 1708 peserta adalah pelajar sekolah dari Malaysia, manakala 481 dari Indonesia dan 245 lagi dari Brunei.

Program SULAM: International ErgoQUIZ@School dianjurkan oleh 25 pelajar tahun akhir program Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal dari Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FKMP), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang mengambil Kursus Faktor Kejuruteraan Manusia.

Menurut penasihat dan penyelaras program, Profesor Madya Ir. Dr. Mohd Nasrull Abdol Rahman program SULAM yang bertemakan “Promoting Ergonomic Awareness at School” itu telah dijalankan secara dalam talian selama tiga minggu bermula pada 21 April sehingga 9 Mei 2025 lalu.

Manakala majlis perasmian program itu telah diadakan pada 24 April 2025 lalu bertempat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Gading, Parit Raja, Batu Pahat.

Tambah Dr. Nasrull, melalui program berbentuk kuiz itu, kesemua peserta diberi pendedahan serta kesedaran berkenaan tip dan teknik pengendalian beg sekolah serta posisi postur duduk yang betul semasa sesi pembelajaran di dalam kelas.

“Kami berharap selain dapat merapatkan lagi hubungan antara tiga negara, program SULAM ini juga dapat memberi impak yang positif kepada masyarakat sekeliling terutama kepada pelajar sekolah dalam meningkatkan produktiviti persekitaran pembelajaran yang kondusif dan berkualiti di sekolah,” katanya.