UTHM jayakan projek RICHER, angkat martabat sejarah, kebudayaan dan kesenian Johor

Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Johor, Datuk Haji Samsolbari Jamali (kanan depan) ketika menyempurnakan Majlis Pelancaran Projek RICHER dan Bicara Negarawan Tun Hussein Onn.

BATU PAHAT, 24 Ogos 2022 – Bagi memartabatkan lagi sejarah, kebudayaan dan keseniaan Johor, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) melalui Perpustakaan Tunku Tun Aminah (PTTA) telah mengetuai Projek Penyelidikan dan Inovasi Budaya dan Warisan Johor atau Research and Innovation in Culture and Heritage of Johor (RICHER).

PTTA menjalin kerjasama pintar bersama pasukan penyelidik UTHM setelah berjaya memperoleh empat geran penyelidikan dengan memberi tumpuan kepada empat projek utama sebagai permulaan, iaitu Sejarah Pertempuran di Parit Sulong dan Sejarah Perlombongan Bijih Besi di Sri Medan, Gambus: Sejarah, Instrumentasi dan Gaya Permainan di Johor, Laman Web Peta Johor dan Pendigitalan Zapin.

Hasilnya, Galeri Warisan Johor telah berjaya dibangunkan dan Pameran Gambus@PTTA berjaya dilaksanakan di UTHM bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap budaya bangsa.

Seiring dengan perkembangan IR 4.0, Projek RICHER ini juga bertujuan untuk membangunkan portal bahan digital berpusat merangkumi gambar, video, keratan akhbar dan bahan-bahan lain yang berkaitan dengan kebudayaan dan warisan Johor.

Selain itu, ia juga bertujuan untuk mendigitalkan kandungan terpilih bahan pameran menggunakan teknologi animasi seperti Realiti Maya (Virtual Reality – VR), Realiti Terimbuh (Augmented Reality – AR), Mixed Reality (MR) dan Penerokaan Maya (Virtual Tour).

Usaha ini diambil bagi menyokong matlamat utama UTHM iaitu ke arah kecemerlangan penyelidikan dan inovasi menggunakan tenaga dan kepakaran staf UTHM.

Rentetan itu, satu Majlis Perasmian Projek RICHER telah diadakan pada 24 Ogos 2022 bertempat di PPTA, kampus induk.

Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Johor, Datuk Haji Samsolbari Jamali.

Beliau dalam ucapannya merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada UTHM kerana telah memulakan langkah awal bagi memelihara khazanah sejarah, warisan, kebudayaan dan kesenian negeri Johor.

“Saya menyambut baik aspirasi projek ini sebagai salah satu inisiatif untuk menjenamakan penyelidikan dalam warisan budaya Johor di samping memartabatkan budaya dan kesenian negeri Johor khususnya.

“Warisan sejarah, seni dan budaya negeri ini perlu dipertahankan bagi memastikan ianya terus kekal terpelihara serta dapat dihayati oleh generasi akan datang,” katanya. 

Sementara itu, Pengerusi Lembaga UTHM, Dato’ Sri Ibrahim Ahmad dalam ucapannya berkata beliau yakin inisiatif awal yang digerakkan oleh universiti ini mampu memberi manfaat kepada negeri Johor.

“Seluruh masyarakat perlu diberikan kefahaman akan peri pentingnya usaha ini demi memupuk semangat kecintaan kepada tanah air sekali gus sebagai usaha mengekalkan keharmonian dan perpaduan negara,” katanya.

Turut diadakan, program bual bicara “Bicara Negarawan Tun Hussein Onn” dengan kerjasama Arkib Negara Malaysia.

Bicara Negarawan ini adalah siri kedua bagi mengenang dan memperingati 100 tahun tarikh kelahiran tokoh bekas Perdana Menteri iaitu Tun Hussein Onn yang dilahirkan pada tahun 1922.

Program yang dikendalikan oleh Moderator, Dr. Lutfan Jaes, Dekan Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum, UTHM itu melibatkan dua panel jemputan iaitu Prof. Dr. Kassim Thukiman, Ahli Penasihat Jumaah Majlis Diraja Johor dan Prof. Madya Dr. Hamidin Abd Hamid, Pensyarah Kanan, Jabatan Sejarah, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya.

Majlis perasmian tersebut turut dimeriahkan dengan aktiviti pameran melibatkan kerjasama beberapa agensi yang terlibat seperti Jabatan Muzium Malaysia, Pusat Kebudayaan UTHM, Persatuan Sejarah dan orang perseorangan.

Selain itu, para tetamu turut disajikan dengan pameran Showcase@UTHM daripada fakulti dan pusat penyelidikan terpilih.

UTHM berharap kerjasama daripada pelbagai pihak ini berupaya menjadikan PTTA sebagai pusat sehenti bagi mempamerkan bidang-bidang tujah UTHM, iaitu ‘Teknologi Lestari’ dan ‘Pengangkutan’ sekali gus merancakkan lagi inisiatif penjenamaan, promosi dan pengkomersialan universiti.

 

Categories
Penyelidikan dan Inovasi