Penyelidik Geran KKP sertai program latihan bersama DB Rail Academy & Consulting Berlin, Jerman

Penyelidik Geran KKP yang menyertai ‘Program for RAMS Study Tour (Customize)’ di Jerman.

BERLIN, JERMAN – Kumpulan penyelidik Geran Konsortium Kecemerlangan Penyelidikan (KKP) yang diketuai oleh Profesor Madya Dr. Nor Aziati Abdul Hamid bersama dua pelajar sarjana telah menyertai ‘Program for RAMS Study Tour (Customize)’ di Berlin dan Dortmund, Jerman pada 17 hingga 22 Julai 2022.

Menurut Dr. Nor Aziati, program latihan bersama pihak Jerman ini merupakan salah satu penunjuk prestasi yang telah ditetapkan oleh pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam membangunkan tenaga pakar tempatan di samping meluaskan jaringan kolaborasi ke peringkat antarabangsa.

Para penyelidik yang mengikuti program ini terdiri daripada Ketua ICOE-Rel UTHM, Dr. Hairulazwan dan pelajar Sarjana Rel, Nazwa Hidayah; penyelidik Universiti Malaysia Pahang (UMP), Dr. Mohd Adnin, Dr. Ahmad Fitri dan pelajar sarjana di bawah penyeliaan beliau, Muhammad Azri; penyelidik Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr. Siti Zaharah, Profesor Madya Dr. Wan Mazlina dan Dr. Nuryantizpura serta delegasi dari Syarikat jaringan kolaborasi UTHM iaitu Ketua Jabatan RAMS di Pestech Technologies Sdn. Bhd., Muhammad Afiq Zambri.

“Sepanjang lima hari latihan di negara tersebut, pihak kami telah diberikan pendedahan tentang pelaksanaan reliability, availability, maintainability and safety (RAMS) oleh DB Rail Academy & Consulting dan lawatan tapak ke Depoh Dortmund,” katanya.

Tujuan utama lawatan adalah untuk melihat dengan lebih dekat pelaksanaan aktiviti penyelenggaraan dan ciri-ciri keselamatan yang diterapkan dalam perkhidmatan High-Speed Rail, ICE yang dikendalikan oleh DB Rail.

Melalui latihan dan peluang kerjasama bersama DB Rail Germany, pelbagai teknologi terkini yang kini diguna pakai oleh operator-operator rel di negara-negara Eropah dapat dipelajari.

Turut diadakan, mesyuarat kerjasama bersama dua institut teknikal dari Technical University Braunschweig, German iaitu Institute of Intermodal Transport and Logistic dan Institute of Railway System Engineering and Traffic Safety.

Kerjasama tersebut akan memfokuskan kepada kolaborasi penyelidikan, latihan dan akademik.

Geran kolaborasi konsortium rel yang melibatkan tiga universiti ini bakal membuka peluang kepada penyelidik universiti tempatan untuk berkongsi kepakaran, fasiliti serta jaringan.

Di samping pembangunan sumber manusia dan tenaga pakar dalam bidang rel, konsortium turut terlibat sebagai perunding projek rel, penyelidikan dalam bidang rel serta terlibat secara langsung dalam menyediakan latihan yang mengikut keperluan industri rel.

Categories
AntarabangsaPenyelidikan dan Inovasi