Oleh PM Dr. Noorhaniza Wahid, Dr. Rahayu A Hamid , Dr. Norhanifah Murli, Norhaslini Abd Alim

Galeri Perpustakaan Tunku Tun Aminah (PTTA), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang terletak di aras 1 merupakan ruang pameran yang menyediakan pelbagai maklumat antaranya tentang daerah Batu Pahat yang kaya dengan pelbagai keunikan seperti makanan, kesenian tarian dan muziknya.

Maklumat yang bernilai itu perlu disebarluaskan kepada masyarakat umum melalui platform yang lebih mudah dan meluas capaiannya. Seiring perkembangan IR4.0, pembangunan aplikasi AR-Galeri PTTA telah direalisasikan melalui kerjasama PTTA dan Jabatan Multimedia, Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM)  menerusi geran Projek Penyelidikan dan Inovasi Budaya dan Warisan Johor (RICHER).

Aplikasi ini dibangunkan bertujuan untuk mempromosikan Galeri PTTA, khususnya tentang keunikan Batu Pahat dengan menggunakan pendekatan yang lebih berteknologi. Justeru, teknologi realiti terimbuh atau augmented reality (AR) telah diaplikasikan dalam projek ini.  

AR membolehkan objek maya berbentuk visual yang dijana oleh komputer, terimbuh pada pandangan realiti fizikal yang dipaparkan menerusi skrin paparan. Ini bermakna selain daripada objek-objek realiti sedia ada, pengguna juga dapat melihat kewujudan pelbagai objek maya yang lain dalam dunia sebenar melalui skrin peranti mudah alih. Menariknya, AR-Galeri PTTA ini boleh diakses dengan hanya mengimbas peranti mudah alih kepada penanda (marker) yang disediakan tanpa perlu berada secara fizikal di tempat tersebut. Penanda AR-Galeri PTTA boleh diperolehi dari laman sesawang RICHER di richer.uthm.edu.my.

Aplikasi yang dibangunkan itu terdiri daripada tiga modul utama iaitu Tentang Batu Pahat, Kesenian dan Makanan. Modul Tentang Batu Pahat memaparkan maklumat ringkas Batu Pahat seperti lokasi, institusi pendidikan dan tarikan pengunjung seperti pusat membeli-belah. Manakala, modul Kesenian pula menfokus kepada genre muzik ghazal yang merangkumi sejarah ghazal, lagu-lagu ghazal dan alat muzik ghazal. Seterusnya, modul Makanan membawa pengunjung ke pautan Facebook bagi pelbagai jenis makanan popular di Batu Pahat.

Secara khususnya, AR-Galeri PTTA memfokus kepada kandungan digital yang berkisar tentang keunikan kesenian muzik ghazal yang berasal dari daerah Batu Pahat. Sumber maklumat kesenian muzik ghazal telah diperolehi melalui Yayasan Warisan Johor. Aplikasi ini membolehkan pengguna mengetahui akan asal usul ghazal di samping menikmati lagu-lagu ghazal melalui pautan ke YouTube yang disediakan. Selain itu, aplikasi ini juga memaparkan tujuh jenis alat muzik ghazal beserta penerangan masing-masing iaitu tamborin, biola, marakas, gitar, harmonium, gambus dan tabla yang dipersembahkan dalam bentuk tiga dimensi (3D) secara AR.

Teknologi AR membolehkan pengguna melihat setiap satu alat muzik ini secara maya pada sudut pandangan 360 darjah sama ada secara menegak atau melintang. Paparan objek maya ini juga boleh dilaraskan mengikut kesesuaian dan keselesaan pandangan pengguna. Ciri estetik material yang diterapkan pada setiap alat muzik ghazal dapat memberi nilai tambah kepada paparan objek seolah-olah melihat objek fizikal sebenar. Pengguna juga berpeluang mendengar bunyi bagi setiap alat muzik yang dipaparkan.

Aplikasi AR-Galeri PTTA secara rasminya telah dilancarkan oleh Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Johor, Datuk Samsolbari Jamili bersempena dengan perasmian Projek Penyelidikan dan Inovasi Budaya dan Warisan Johor (RICHER) pada 24 Ogos 2022 lalu.

Aplikasi ini diharapkan dapat menjadi satu lagi kaedah untuk masyarakat mencapai maklumat mengenai keunikan Batu Pahat, terutamanya yang berkaitan dengan alat muzik tradisional, dalam peranti mudah alih tanpa memerlukan mereka untuk hadir secara fizikal ke ruang pameran. 

Teknologi realiti terimbuh yang digunakan juga diharapkan dapat menunjukkan visual yang lebih informatif kepada pengguna. Meskipun kandungan aplikasi ini masih belum mencakupi informasi warisan dan sejarah Batu Pahat secara komprehensif, namun inisiatif pendigitalan kandungan oleh PTTA berpotensi menjadi perintis kepada lebih banyak pembangunan aplikasi seumpamanya sebagai media sebaran alternatif.