Terengganu – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menjalin kerjasama bersama Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) melalui satu majlis penyerahan Memorandum Persefahaman (MoU) UTHM-IPGM bertempat di Institut Pendidikan Guru Kampus Dato’ Razali Ismail, Terengganu pada 23 Ogos lalu.

Majlis penyerahan MoU tersebut diwakili Dekan Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional (FPTV), UTHM Profesor Madya Ts Dr. Abdul Rasid Abdul Razzaq selaku wakil rasmi Naib Canselor.

Menurut Dekan FPTV, perjanjian persefahaman ini merangkumi kerjasama akademik, penyeliaan, penyelidikan dan perundingan.

“Inisiatif jalinan kerjasama yang dijalankan selaras dengan objektif UTHM dalam meningkatkan imej universiti melalui hubungan dua hala dengan pelbagai agensi dan masyarakat.

“Selain itu juga kerjasama ini selari dengan hala tuju UTHM yang baharu iaitu menjadikan UTHM sebagai sebuah Global Technopreneur menjelang 2030 (GTU 2030),” katanya.

Majlis penyerahan dokumen MoU yang disempurnakan oleh Rektor Institut Pendidikan Guru Malaysia, Dr. Rusmini Ku Ahmad turut melibatkan Institusi Pendidikan Tinggi seperti Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK), UNITAR International University (UNITAR), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan beberapa agensi swasta lain.

Majlis tersebut dilaksanakan ketika berlangsungnya Majlis Perasmian Persidangan Minda Inovasi Dinamik Institut Pendidikan Guru 2022.