Pelajar Program Senibina UTHM raih naib juara di Architectural Student Workshop 2022

Oleh Nasrul-Arif Mahmud dan Azmal Sabil

Kumpulan pelajar program Senibina, Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Sekitar, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) membawa pulang pingat apabila berjaya meraih gelaran naib juara bagi pertandingan Videografi sempena berlangsungnya Architectural Student Workshop (ASW2022) anjuran Universiti Teknologi Sarawak (UTS) pada 21 hingga 26 Ogos 2022.

ASW2022 merupakan program tahunan yang dianjurkan secara bergilir dalam kalangan lnstitusi Pengajian Tinggi yang menjalankan program Senibina di Malaysia dengan kerjasama Pertubuhan Arkitek Malaysia (PAM).

Salah satu pengisian utama Makara 33rd ASW 2022 ialah pertandingan seni bina berbentuk kreativiti dan inovasi peringkat kebangsaan yang meliputi beberapa kategori berdasarkan tema; MAKARA antaranya Gateway Installation, Videografi, Fotografi Drone, Fotografi Mini, Fotografi Asal-Usul, Persembahan, Fesyen dan Pertandingan Reka Bentuk.

Pertandingan ini bertujuan meningkatkan daya saing pelajar dan melahirkan jaguh kebangsaan dalam bidang senibina menerusi penyertaan dalam pertandingan serta bagi memberi pendedahan dan pengalaman kepada pelajar dalam aspek kesenibinaan.

Bersempena Makara 33rd Architectural Student Workshop 2022, pelbagai aktiviti yang komprehensif turut disediakan bertujuan untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan menerusi peningkatan keupayaan mereka bentuk, nilai keusahawanan, penyelesaian masalah bidang Senibina serta menjalin rangkaian hubungan bersama pelajar-pelajar dari institusi lain mahupun bersama wakil-wakil industri dalam kalangan ahli Pertubuhan Akitek Malaysia.

Antara Modul yang disertai adalah Rajang: The Build, Kinabatangan: The Birth, Kapuas: Jalai, Barito: Jalai, Tutong: The Lesson, Kayan: The Preparation, dan Mahakam: The War.

Penyertaan pelajar-pelajar program senibina UTHM di “Makara 33rd Architectural Student Workshop 2022” dilihat sebagai satu ruang dan peluang kepada mereka bagi mengukur aras peserta selain mempelajari hal-hal berkaitan senibina menerusi proses ‘Peer-Learning’ bersama pelajar dari institusi yang telah lama menjalankan program Senibina di negara ini.

Penyertaan dalam program ini juga membolehkan pelajar mendapat pendedahan umum tentang industri senibina dan pembinaan daripada wakil­wakil industri, para pensyarah yang berpengalaman serta pelajar-pelajar lain yang lebih berpengalaman dan berkemahiran dalam bidang ini.

 

Categories
Anugerah, Pencapaian dan PengiktirafanKejuruteraan Awam dan Alam Sekitar
Subscribe