BESUT – Nur Salina Pei Abdullah atau dahulunya dikenali sebagai Shelyn Pei Chia Chia berjaya meraih gelaran johan ketika menyertai pertandingan Tilawah Al-Quran (Kategori Wanita) Mahrajan Amal Islami Mualaf Peringkat Kebangsaan 1444H/2022M yang berlangsung di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Kampus Besut pada 18 hingga 20 Ogos lalu.

Nur Salina yang kini menjawat jawatan sebagai Penolong Pegawai Tadbir di Pusat Kemajuaan Kerjaya dan Alumni, UTHM merupakan saudara baharu yang memeluk agama Islam pada 4 Julai 2013.

Alumni Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM) tahun 2012 ini bergiat aktif sebagai Guru Am al-Quran selain turut menyumbang bakti sebagai pegawai pendakwah dan pengajar Saudara Kita Daerah Batu Pahat.

Untuk rekod, Nur Salina juga pernah menerima Anugerah Maal Hijrah Saudara Kita sempena Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Johor 1442H/2020M, Naib Johan Tilawah Al-Quran Saudara Kita Peringkat Kebangsaan 2019 dan Johan Hafazan Saudara Kita Peringkat Kebangsaan 2017.

Nur Salina berkata, kejayaan yang dikecapi beliau hari ini adalah hasil dorongan suaminya, Mohd Hafiz Burhan yang juga merupakan alumni UTHM, selain sokongan daripada keluarga, guru-guru serta rakan-rakan.