Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) melalui pasukan daripada Pejabat Pembangunan dan Penyenggaraan yang di ketuai oleh Ts. Mohd Fadlullah Gimat berjaya meraih President’s Garden Award ketika menyertai Festival Royal Floria Putrajaya 2022, Perbadanan Putrajaya yang bermula pada 29 Ogos lalu.

Anugerah tersebut disampaikan Presiden Perbadanan Putrajaya, Dato TPr. Fadlun Mak Ujud ketika berlangsungnya majlis penutup yang diadakan pada 8 September 2022 yang bertempat di Anjung Floria, Putrajaya.

Penganjuran Festival Royal Floria Putrajaya 2022 yang telah disempurnakan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Dato’ Seri Dr. Shahidan Kassim itu melibatkan kehadiran lebih daripada 400 ribu pengunjung.

Melalui tema “Orkid Hebat!” sebanyak enam anugerah telah dipertandingkan bagi kategori Taman Universiti pada Festival Royal Floria 2022.

Untuk rekod, UTHM juga pernah berjaya meraih Starlight Garden Award dan Most Popular Award ketika menyertai pertandingan tersebut pada tahun 2018.

“Semoga kejayaan ini akan menyerlahkan lagi penglibatan UTHM dalam meraih kecemerlangan dalam pertandingan bertaraf kebangsaan dan antarabangsa seterusnya menjadi penanda aras pada masa akan datang,” kata Mohd Fadlullah.