SERDANG – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) berjaya merangkul pingat perak, gangsa dan sijil diploma ketika menyertai ‘Agro Culinary Competition’ pada 7 Ogos 2022 lalu sempena berlangsungnya Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA 2022).

Kejayaan tersebut dirangkul oleh tiga pelajar dari Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional (FPTV) menerusi tiga kategori yang disertai.

Pingat perak diperoleh menerusi kategori ‘Kumpulan’ yang diwakili oleh Ramos Jalang Anak Nyawai dan Nurul Habibah Hamda manakala pingat Gangsa diperolehi menerusi Ramos Jalang Anak Nyawai bagi kategori ‘Malaysia Fine Dining.’

Sementara itu, Mohd Irfan Nazri yang juga merupakan pelajar Ijazah Sarjana Muda Teknologi Perkhidmatan Makanan berjaya membawa pulang sijil diploma dalam pertandingan Coffee Signature apabila Siphon Brewed Coffee Mixed With Pineapple and Sparkling Water yang dipertandingkan berjaya menawan hati para juri dan pengunjung..

Menurut Felo Industri FPTV, Afif Naim Abd Rani, menu Palm Leaf Corn Sticky Rice dan Serawa Durian with Glurinous Corn Rice telah menjadi pilihan bagi kategori kumpulan manakala Sarawak Prawn Umai ,Aromatic Iban Chicken Pansuh dan Tapioca Sago Gula Apong Borneo dalam kategori ‘Malaysia Fine Dining.’

Tambah beliau, menu-menu yang diketengahkan oleh para pelajar terbabit menjadi menu yang akan dibawa dan dipertandingkan ke pertandingan peringkat antarabangsa World Cooks Olympics yang akan menyusul pada 24 hingga 27 November akan datang di Istanbul ,Turkiye.

“Hasil persembahan pelajar FPTV ini juga merupakan platform awal kepada mereka sebelum berangkat ke World Cooks Olympics di Instabul kerana lima pelajar FPTV dan dua pensyarah akan mewakili Malaysia ke pertandingan bertaraf antarabangsa dan terbesar di dunia itu,” katanya.

Momentum kejayaan pelajar di Agro Culinary Competition MAHA 2022 diharap dapat dijadikan satu titik mula untuk UTHM menempa nama di World Cooks Olympics November nanti.

“Penyertaan sebegini harus diteruskan bagi menonjolkan bakat pelajar sekali gus menunjukkan ekosistem di universiti mampu menggilap bakat pelajar dalam pelbagai aspek,” katanya lagi.