SKUDAI, 20 Julai 2022 – Naib Canselor Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Profesor Ts. Dr. Ruzairi Abdul Rahim menerima Anugerah Tokoh Akademik daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM) ketika berlangsungnya Citra Karisma Majlis Anugerah Kecemerlangan dan Penghargaan UTM 2022.

Majlis anugerah yang berlangsung di Dewan Sultan Iskandar, kampus induk UTM itu telah disempurnakan oleh Pro Canselor UTM, Tan Sri Dr. Salleh Mohd Nor.

Prof. Ruzairi, 55 merupakan tokoh akademik yang berdedikasi dalam menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan serta banyak menyumbang ke arah pembangunan pendidikan dan penyelidikan negara.

Beliau sebelum ini pernah mencipta pelbagai kejayaan ketika memikul tugas dan tanggungjawab sebagai ketua keluarga, pemimpin, pentadbir, ahli akademik serta penyelidik.

Lulusan PhD. dari Sheffield Hallam University, United Kingdom ini telah diberi amanah menyandang jawatan sebagai Timbalan Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan pada tahun 2006 hingga 2009, diikuti dengan Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan, UTM pada 2009 hingga 2016.

Berbekalkan pengalaman yang luas, Prof. Ruzairi kemudiannya dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), UTHM pada tahun 2016 hingga 2019 dan kemudian dilantik sebagai Dekan Fakulti Kejuruteraan sekembalinya ke UTM pada tahun 2021.

Kini sekali lagi beliau diberi kepercayaan oleh Kementerian Pengajian Tinggi untuk dilantik sebagai Naib Canselor UTHM bermula pada 9 Mei 2022 lalu sehingga kini.

Sepanjang berkhidmat di UTM, beliau telah menerima 45 anugerah sebagai pengiktirafan kepada kecemerlangan beliau.

Antaranya Anugerah Penulis Jurnal Berindeks, Anugerah Kualiti UTM – Research Management Centre, Anugerah Inovasi Naib Canselor – Research Management Centre, Anugerah Saintis Cemerlang (MOHE), Malaysia’s Research STAR Award 2019, Research and Innovation Excellence in area Technology and Engineering dan Top Research Scientist Malaysia (TRSM) by Academy Science Malaysia.

Prof. Ruzairi sangat menitikberatkan sikap saling  membantu dan bekerjasama dalam kalangan staf kerana baginya budaya  ini merupakan antara faktor penting dalam menyumbang kepada kejayaan sesebuah organisasi.

Beliau turut menyeru warga kerja di bawahnya supaya sentiasa berkongsi ilmu, memudahkan apa jua urusan orang lain dan bersedia untuk berubah.

Prof. Ruzairi juga menerapkan kaedah ‘mentor-mentee’ dalam kepimpinan kerana ianya boleh mewujudkan satu kerjasama yang lebih harmoni dalam kalangan ketua dan kakitangan.

“Sebagai ahli akademik kita perlu bersikap rajin, konsisten, kreatif dan memiliki semangat juang yang tinggi terhadap pelbagai cabaran mendatang bagi memastikan kejayaan dapat dicapai dalam melaksanakan apa jua tugasan,” katanya.

Pihak universiti berharap pencapaian dan sumbangan yang dicurahkan beliau sebelum ini mampu menjadi pemangkin dalam membantu UTHM sebagai universiti perintis dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) mencapai hasratnya menjadi ‘Global Technopreneur University’ menjelang tahun 2030 (GTU 2030).