GUNUNG TAHAN – Bagi membudayakan amalan hidup sihat dan cergas, sekumpulan pendaki Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menyahut cabaran untuk menawan puncak Gunung Tahan pada 4 hingga 8 Ogos 2022 lalu.

Kumpulan pendaki tersebut melibatkan penyertaan enam staf dan tiga alumni UTHM yang diketuai Pensyarah Kanan, Munirah Mohd Yusof dari Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat.

Berketinggian 2,187 meter, Gunung Tahan merupakan gunung yang mempunyai puncak tertinggi di Semenanjung Malaysia dan agak sukar ditawan kerana laluannya yang berliku dan mencabar.

Menurut Munirah, misi menawan Gunung Tahan itu bertujuan mencabar kemampuan diri untuk melakukan sesuatu yang luar dari kebiasaan.

Tambah beliau sepanjang mendaki, mereka diuji dengan pelbagai cabaran kerana keadaan trek yang berbeza termasuklah laluan berbatu, berakar, laluan yang memacak, curam dan berlumpur, selain perlu meredah sungai.

“Namun begitu semangat kerjasama dan saling membantu yang ditonjolkan oleh semua pendaki sangat memainkan peranan dalam setiap perjalanan pendakian kami,” katanya.

Perjalanan bermula dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda daripada Pejabat Taman Negara sehingga Kuala Juram.

“Setibanya di Kuala Juram, bermulalah cabaran sebenar kami apabila semua perlu mendaki sambil menggalas beg seberat 10 hingga 20 kilogram.

“Walaupun perjalanan ke setiap kem seperti Kem Lata Luis, Kem Kubang, Kem Bongsai dan Kem Botak memakan masa antara 5 hingga 8 jam, ditambah dengan ketinggian yang semakin memacak dan menegak, namun cabaran itu tidak mematahkan semangat kami apabila ada ketikanya dihidangkan dengan pemandangan yang sangat indah.

“Pendakian tersebut sangat mencabar ketahanan mental dan fizikal apabila hampir 3/4 perjalanan kami terpaksa berdepan dengan laluan yang berlecak dan berselut sehingga boleh menenggelamkan betis pendaki,” katanya.

Tambah Munirah, segala penat lelah seakan terbayar kesemuanya apabila akhirnya mereka berjaya menawan puncak dan berpeluang melihat matahari terbenam pada sebelah petang dan melihat matahari naik di sebelah pagi, selain menikmati panorama yang sangat menarik.

Beliau bersama rakan-rakan yang lain melahirkan rasa syukur kerana dapat menjayakan misi mendaki Gunung Tahan yang amat mencabar ketahanan fizikal dan mental pendaki.

“Kepada semua yang ingin mendaki Gunung Tahan, buatlah persediaan yang rapi dan jalani dahulu latihan bagi membina kekuatan dan stamina kerana trek gunung ini sangat mencabar dan perjalanannya agak jauh,” katanya.

Munirah berharap kejayaan pendakian ini juga dapat menjadikan mereka seorang yang kuat mental dan fizikal dalam menghadapi cabaran hidup dan berupaya memberi motivasi kepada rakan-rakan staf yang lain untuk memilih hidup secara sihat dan cergas.

 

*Munirah (kiri) bersama dua rakannya sewaktu dalam perjalanan mendaki Gunung Tahan.