Dengan populasi dunia dijangka mencecah lebih sembilan bilion menjelang tahun 2050, The Food and Agriculture Organization (FAO) meramalkan pertumbuhan 70 peratus dalam keluaran pertanian akan diperlukan untuk memenuhi unjuran permintaan. Daya penggerak ini telah banyak meningkatkan minat dan penggunaan analitik data raya dalam industri pertanian.

Apabila teknologi Internet Pelbagai Benda (IoT) yang baru muncul membentuk semula pertanian moden atau lebih dikenali sebagai pertanian pintar (smart farming), lebih banyak data dan cerapan sedang dikumpulkan daripada pelbagai penderia (sensor). Justeru itu,antara kegunaan analitik data raya adalah seperti berikut:

  1. Menambah baik pengurusan rantaian bekalan

Dalam setiap industri, proses rantaian bekalan adalah kompleks. Tinjauan terbaru menunjukkan bahawa satu pertiga daripada makanan yang dihasilkan untuk kegunaan manusia hilang atau dibazirkan setiap tahun. Untuk mengatasi kerugian ini, kitaran penghantaran makanan daripada pengeluar ke pasaran perlu dikurangkan. Penggunaan analitik data raya boleh membantu mencapai kecekapan rantaian bekalan dengan menjejak dan mengoptimumkan laluan trek penghantaran dan menjejaki kitaran hayat lengkap hasil.

  1. Mengekalkan pengeluaran makanan.

Petani di seluruh dunia perlu meningkatkan pengeluaran tanaman, sama ada dengan menambah jumlah tanah pertanian untuk menanam tanaman atau dengan meningkatkan produktiviti di tanah pertanian sedia ada. Memanfaatkan baja, strategi pengairan dan mengguna pakai kaedah operasi baharu untuk memaksimumkan output akan menjadi kritikal dalam usaha ini.

Analitik data raya membolehkan petani menjejaki maklumat mengenai titik data seperti kitaran air, corak hujan dan keperluan baja untuk meningkatkan hasil. Dengan membuat keputusan yang lebih termaklum tentang apa yang hendak ditanam, di mana untuk menanamnya dan bila untuk menanam, petani memperoleh keupayaan untuk meningkatkan kedua-dua keuntungan dan pengeluaran.

  1. Penggunaan racun perosak dan baja.

Kenaikan mendadak harga baja dan racun kebelakangan ini amat membebankan para petani. Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, faktor global disebabkan China yang menjadi pembekal ketika ini mengawal dan menghadkan pengeluaran bahan mentah yang mencemarkan persekitaran.

Analitik data raya membolehkan petani dan penanam mengurus penggunaan racun perosak dan baja, apabila ia digunakan, berapa banyak yang digunakan dan di mana ia digunakan. Dengan menggunakan data untuk memantau dengan teliti semua aspek penggunaan racun perosak dan baja, petani boleh mematuhi peraturan kerajaan dan mengelakkan penggunaan bahan kimia yang berlebihan dalam proses pengeluaran makanan. Terdapat juga peluang untuk meningkatkan keuntungan dengan mengurangkan sisa dan mencegah kerugian tanaman akibat rumpai atau serangga.

Kemajuan teknologi data analitik raya ini diharap dapat membantu petani meningkatkan lagi produktiviti dan ekonomi negara.

 

 

 

Ts. Dr. Suziyanti Marjudi

Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)