Apabila perkataan suri rumah meniti di bibir kita, apakah bayangan pertama yang akan melintasi minda kita? Adakah seorang wanita yang tidak bekerjaya yang rutin hariannya hanyalah duduk berehat di rumah atau sebaliknya. Tugas seorang suri rumah yang pastinya jawatan paling mudah untuk dipohon tanpa perlu menghadiri temuduga dan apa-apa prosedur tertentu. Mudah bukan? Namun adakah jawatan ini tiada cabaran dan dugaan untuk dilalui?

Jika anda merasakan seorang suri rumah tidak bekerjaya dan rutin hariannya hanya duduk berehat ternyata tanggapan tersebut perlu dibuang jauh dari akal dan minda kita. Seorang suri rumah kebiasaannya seawal jam lima pagi telah memulakan tugas. Ketika mungkin pada masa itu isi rumah yang lainnya masih menghabiskan saki baki nikmat tidur merehatkan diri, para suri rumah dilihat sudah sibuk di dapur menyiapkan sarapan anak-anak dan suami. Adakalanya mereka juga dilihat membuat lebih daripada satu kerja dalam satu-satu masa.

Usai siap hidangan sarapan adakalanya tugasan diteruskan lagi dengan menghantar anak-anak ke sekolah dan meneruskan langkahnya ke pasar pagi sekiranya ada bahan-bahan yang mungkin telah berkurang dan perlu ditambah. Seterusnya sudah tentu di minda mereka sudah mula memikirkan hidangan apa pula untuk makan tengah hari dan makan malam selain membuat tugasan membersih dan mengemas rumah yang mungkin hanya akan selesai pada tengah malam. Bayangkan mereka perlu bekerja hampir 19 jam sehari.

Ini adalah antara cabaran seorang suri rumah, namun jarang-jarang kita mendengar keluhan mereka. Mungkin adakalanya terlepas juga keluhan kecil dari bibir namun mereka tetap meneruskan tugas tersebut dari hari ke hari dengan keikhlasan dan tanpa putus asa. Ada juga suri rumahtangga yang turut membuat kerja sampingan seperti bekerja dari rumah, mengusahakan perniagaan-perniagaan kecil, bertujuan untuk membantu para suami mencukupkan keperluan isi rumah. Namun mereka tetap bijak mengatur masa dan tugas-tugas mereka di rumah.

Apa pula tugas kita kepada suri rumah ini? Pastinya bagi golongan suami wajar memahami tugas-tugas suri rumah dan memberi dorongan semangat pada mereka jika tidak mampu untuk membantu. Namun kredit diberikan kepada para suami yang sangat memahami dan sentiasa membantu tugas suri hati mereka. Keharmonian dalam hubungan kekeluargaan akan wujud seterusnya melahirkan bibit-bibit kebahagiaan dalam keluarga.

Bagi anak-anak yang sudah dewasa dan matang pula, mereka wajar membantu suri yang juga ibu mereka dengan melakukan tugas-tugas kecil di rumah. Tidak perlu meletakkan sepenuhnya tugas menguruskan rumah di bahu ibu. Sentiasalah menghulurkan tangan membantu bagi mengurangkan bebanan yang ditanggung ibu. Perbuatan dan tindakan abang dan kakak akan menjadi contoh ikutan kepada adik-adik kecil juga.

Sesekali adakan kejutan buat suri rumah yang juga merupakan suri hati keluarga. Tidak perlu dengan kejutan yang mewah, berikan kejutan seperti menyediakan hidangan ataupun menyelesaikan tugasan rumah sebelum suri hati keluarga kita memulakan tugasnya. Sentiasa berikan penghargaan dengan ucapan-ucapan manis seperti ” terima kasih sayang, terima kasih ibu, kami sayang ibu dunia akhirat” sudah cukup menggembirakan para suri. Percaya atau tidak sedikit sebanyak ucapan ini dapat mengurangkan keletihan mereka setelah seharian bekerja di rumah.

Para suri rumah juga menghabiskan masa harian mereka di rumah. Sudah tentu mereka jarang berjumpa kawan-kawan di luar. Luangkan sebahagian masa kita bertanya jika ada apa perlu dikongsikan dan mungkin berbual kosong bersama mereka. Ini dapat mengeratkan dan merapatkan hubungan kekeluargaan walaupun seisi rumah mungkin sibuk dengan pekerjaan dan tanggungjawab masing-masing.

Bekerjaya atau tidak, sama ada yang menjadi suri hati dalam rumah itu dalam kalangan isteri atau suami, sebenarnya kita sendiri yang mencorakkan kebahagian dan kegembiraan isi rumah kita. Ciptalah sebanyak mungkin memori indah bersama keluarga, sentiasa saling melengkapi dan bantu membantu tidak kira antara suami isteri atau ibu bapa dan anak-anak. Kerana ahli keluarga kita adalah insan-insan yang paling hampir dengan kita dalam kehidupan seharian. Perbanyakkan memohon doa kepada-Nya agar keluarga kecil kita sentiasa berada dalam  keadaan sakinah mawaddah warohmah, In Shaa Allah.

Berita ini turut diterbitkan di :

1. malaysiagazette.com, 7 Ogos 2022 : https://malaysiagazette.com/2022/08/07/suri-rumah-suri-hati-keluarga/

 

Nurulisyazila Othaman
Pusat Pengajian Bahasa Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)