Dalam konteks Malaysia hari ini, boleh dikatakan kecelaruan dan ketidakstabilan politik melanda negara ketika ini banyak berkait dengan isu integriti dan moral seseorang pemimpin. Perebutan kuasa pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 2018 menyaksikan perjalanan tadbir urus negara menjadi celaru dan kesan buruknya dapat dilihat dengan jelas pada sektor ekonomi serta sosial ketika ini.

Dalam tempoh itu, negara menyaksikan ahli Parlimen melompat parti hingga bukan sahaja mengecilkan atau membesarkan jumlah kerusi dimiliki parti asalnya, bahkan menyebabkan kerajaan bertukar daripada Pakatan Harapan (PH) kepada gabungan yang baru ditubuhkan, Perikatan Nasional (PN). Malah, ia juga menyebabkan negara memiliki tiga Perdana Menteri dalam satu tempoh PRU, iaitu daripada Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Pada masa sama, terlalu banyak kes salah guna kuasa, ketirisan dalam perbelanjaan, penyelewengan dana dan subsidi serta rasuah dibongkar akhir-akhir ini termasuk didedahkan di mahkamah. Penularan rasuah pula semakin membarah dengan kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2021 dikeluarkan Transparency International (TI) terus jatuh ke tangga 62 daripada keseluruhan 180 negara berbanding tangga 57 pada 2020.

Kita tidak menafikan faktor pandemik Covid-19 sebagai antara penyumbang permasalahan ekonomi dan sosial ini. Ia turut dipengaruhi kenaikan harga barang, kejatuhan nilai mata wang ringgit serta kelemahan daya saing ekonomi. Sukar juga untuk menolak andaian yang permasalahan melanda negara ini ada kaitan secara langsung dan tidak langsung dengan kelemahan kepemimpinan negara di pelbagai peringkat serta lapisan.

Namun, negara jiran seperti Indonesia, Singapura, Thailand dan Vietnam dilihat lebih cekap menangani krisis berkenaan hingga mampu berada di landasan terbaik memacu ekonomi ke tahap lebih baik ketika ini. Secara relatifnya, politik mereka stabil dan pemimpin mereka dapat memberi fokus terhadap isu kemaslahatan rakyat serta kemampanan ekonomi negara.

Bagaimanapun, Malaysia pula dilihat masih bergelut dengan perebutan kuasa politik hingga secara tidak langsung ia membawa kepada terhakisnya kepercayaan sebahagian rakyat kepada institusi kehakiman dan penguatkuasaan undang-undang. Tidak keterlaluan jika hendak dikatakan sudah tiba masanya rakyat Malaysia untuk memilih pemimpin benar-benar berwibawa dan mempunyai integriti bagi mewakili mereka dan menerajui kerajaan terutama pada pilihan raya nanti.

Dalam soal ini, jika dinilai dari perspektif Islam, individu memiliki kefahaman tauhid yang jitu patut menjadi syarat utama diberi pertimbangan jika hendak diangkat menjadi pemimpin. Ia bagi memastikan mereka dapat memikul amanah dipertanggungjawabkan dengan penuh integriti jika dilantik atau terpilih menjadi pemimpin.

Tauhid menitikberatkan kejujuran rohani dalam setiap perlakuan dan tindakan. Apabila wujud kejujuran dalam diri seseorang pemimpin maka terhindarlah tindakan-tindakan mungkar dan keji. Paradigma tauhid perlu dilihat dalam kefahaman yang universal dan holistik. Istilah tauhid perlu difahami dalam konteks lebih luas melangkaui batas agama dan kepercayaan.

Secara asasnya semua agama mempunyai asas didikan yang sama iaitu menyeru penganutnya membuat kebaikan dan menjauhi kejahatan. Yang membezakan adalah penghayatan keimanan dan kepercayaan  mereka terhadap kuasa dan pembalasan tuhan. Di sinilah elemen tauhid menjadi penting. Memahami tauhid secara konseptual berupaya mewujudkan satu paradigma yang mampu membentuk peribadi individu berintegriti dan bersahsiah tinggi.

Justeru, pemimpin mengutamakan tauhid lazimnya takut bersikap culas selain sentiasa berusaha berlaku adil untuk semua dan menolak sama sekali aktiviti salah guna kuasa, rasuah dan penyelewengan. Mereka yakin segala tindak tanduk mereka ketika memegang tanggungjawab sebagai pemimpin akan dihitung di hari pembalasan nanti. Paradigma tauhid mengikat mereka di landasan kepemimpinan suci berpaksikan peraturan dan undang-undang.

Sekurang-kurangnya, nurani mereka sentiasa terdidik untuk berpaksi kepada hubungan baik antara tuhan dan sesama manusia. Kesannya, akan lahir sebuah negara berdaya maju dan kemakmurannya dapat dirasai seluruh rakyat.

Untuk menjadikan paradigma tauhid ini satu budaya, sudah pasti pendidikan dan pendedahan mengenainya perlu diterapkan di peringkat yang lebih awal. Asimilasi nilai tauhid dalam semua tahap pendidikan perlu distruktur supaya penghayatannya dapat dibentuk dengan berkesan. Penerapan sesuatu nilai untuk sesebuah generasi bukanlah suatu yang mudah untuk dicapai. Namun usaha ke arah itu tidak boleh ditangguhkan bagi mengelakkan negara terus ketinggalan dalam arus kelestarian sosial.

Paradigma tauhid merupakan satu nilai yang perlu dihayati oleh segenap lapisan masyarakat supaya jatidiri insan mulia dapat dibudayakan.Untuk mengarusperdanakan nilai ini, maka para pemimpinlah yang harus menjadi contoh, barulah slogan kepimpinan melalui tauladan dapat dijelmakan.

 

 

 

Shafry Salim

Timbalan Pengarah

Pusat Kepimpinan dan Kompetensi

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia