Fahami semula makna korban sebenar

Gambar hiasan ehsan kosmo.com.my

Pada 10 Zulhijjah lalu umat Islam di Malaysia telah menyambut Hari Raya Aidil Adha atau juga dikenali Hari Raya Korban. Sejurus selepas selesai menunaikan solat sunat Aidil Adha, umat Islam akan beredar dan bersiap siaga untuk melaksanakan ibadah korban. Ia dilaksanakan dengan menyembelih kambing, lembu atau unta dan disedekahkan kepada orang ramai terutamanya orang fakir miskin. Ibadah ini bertepatan dengan syariat yang dibawa oleh Nabi Allah Ibrahim a.s dan anaknya Nabi Ismail a.s. dan ia juga adalah salah satu lambang atau syiar Islam terbesar dalam agama kita. 

Perkataan korban berasal daripada perkataan arab iaitu qurban. Kata akarnya ialah qaraba bererti dekat dan hampir. Maka dapatlah kita fahami bahawa ibadah korban dengan menyembelih binatang ternakan bertujuan mendekatkan diri kepada Allah SWT serta mengerjakan perintah-Nya dengan taat dan sabar.

Selain itu, ungkapan al-hadyu juga turut digunakan untuk merujuk kepada makna menyembelih binatang. Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 196 bermaksud: “Dan sempurnakanlah ibadah haji dan ‘umrah kerana Allah. Jika kamu terkepung (terhalang oleh musuh atau kerana sakit), maka (sembelihlah) korban yang mudah didapat, dan jangan kamu mencukur kepalamu, sebelum korban sampai di tempat penyembelihannya”.

Perkataan asal al-hadyu daripada kata akar hadaa bermaksud memberi petunjuk. Berdasarkan maksud ini, maka dapatlah kita fahami bahawa makna ibadah korban ini ialah sebenarnya adalah untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT dan mencari serta mendapatkan petunjuk-Nya melalui penyembelihan binatang ternakan. Tambahan juga ganjaran melaksanakan ibadah ini amat besar sekali. 

Penyembelihan binatang ternakan adalah ibadah khusus bagi melengkapkan ibadah haji atau umrah yang tidak dapat disempurnakan kerana halangan tertentu seperti sakit atau ancaman musuh. Bagi mereka yang tidak dapat mengerjakan ibadah haji pula, mereka sangat dituntut untuk melakukan ibadah korban yakni melakukan penyembelihan binatang ternakan semata-mata menyahut tuntutan agama serta mengingati peristiwa besar yang berlaku antara Nabi Ibrahim a.s dan anaknya Nabi Ismail a.s.

Peristiwa tersebut telah direkodkan dalam surah as-Saffat dari ayat 102 hingga 110 dan daripada kisah itu kita dapati bahawa Nabi Ibrahim a.s telah mengutamakan ketaatannya kepada Allah SWT lebih daripada kepentingan dirinya sendiri. Ketaatan dan ketabahan baginda dalam menghadapi ujian tersebut telah mengangkat dirinya berada dalam kalangan orang-orang yang muhisinin iaitu golongan manusia yang suka melakukan kebaikan. Ketaataan yang dipamerkan oleh anaknya Nabi Ismail a.s juga telah menunjukkan keutuhan imannya dan juga kesabarannya dalam mentaati perintah Allah SWT tanpa ada sebarang keluhan dan rungutan.

Namun masih ada segelintir masyarakat yang tidak memahami makna dan erti sebenar ibadah korban ini. Ada yang mengatakan bahawa duit yang digunakan untuk sembelihan korban itu lebih baik jika disedekahkan kepada orang miskin atau dijadikan dana pendidikan bagi golongan tertentu. Namun hakikatnya umat Islam terutamanya di negara kita, selain daripada melaksanakan ibadah korban saban tahun, mereka juga selalu melakukan amal kebajikan lain seperti memberi bantuan dalam bentuk kewangan kepada orang yang benar-benar memerlukannya. Kita mendapati ramai umat Islam yang mampu dan kaya selalu membuat amal kebajikan yang lain tanpa mengira latar belakang saudara seislam mereka. Hal ini kerana mereka memahami makna firman Allah dalam surah al-hujurat ayat 10 yang bermaksud: “Sesungguhnya setiap kaum mukmin itu bersaudara”.  

Ibadah korban adalah salah satu daripada ibadah-ibadah yang lain. Tetapi ibadah korban ini adalah satu ibadah agung yang hanya dikhususkan pada bulan haji sahaja. Islam tidak memberatkan seseorang untuk melakukan ibadah ini melainkan bagi yang mampu sahaja.  Adapun orang yang berpendapatan kecil tetapi mereka mempunyai niat dan azam untuk melakukan ibadah korban ini, maka itu adalah baik bagi mereka kerana meletakkan diri mereka dalam golongan orang-orang yang muhsinin. Mereka pandai mengurus wang mereka dengan menyimpan setiap bulan dalam tabungan khas sepanjang tahun semata-mata untuk digunakan apabila tiba masanya untuk melaksanakan ibadah korban. Itulah usaha mereka dalam mendekatkan diri kepada Allah SWT. Mengapa mereka mampu untuk melakukan ibadah korban setiap tahun sedangkan pendapatan mereka lebih kecil daripada kita? Kenapa mereka mempunyai keazaman dan kesungguhan untuk melakukan ibadah korban sedang kita pula asyik merungut tiada duit?.

Jawapannya adalah mereka sebenarnya memahami dan menghayati makna korban itu sendiri. Ibadah korban bukanlah semata-mata untuk menyembelih binatang tetapi ia adalah bertujuan mendekatkan diri kepada Sang Pencipta kerana jauh disebabkan alpa dengan bisikan dunia. Tambahan juga keyakinan dan keimanan menjadi kayu ukur seseorang yang mana orang yang melakukan ibadah korban mereka benar-benar yakin dengan sabda Rasulullah SAW tentang kelebihan dan ganjaran yang sangat besar jika mereka melaksanakannya dengan ikhlas. Mereka yakini bahawa ibadah korban ini dapat membersihkan jiwa mereka kerana ganjarannya yang amat besar. Mereka juga yakini bahawa titisan darah korban yang pertama adalah merupakan pengampunan bagi dosa-dosa yang telah lalu iaitu sebagai penebus dosa yang telah dilakukan. Mereka turut yakini bahawa setiap helai bulu haiwan yang disembelih itu satu kebajikan. Bahkan mereka yakini bahawa binatang sembelihan itu akan menjadi tunggangan di titian sirat pada Hari Kiamat kelak. Inilah yang membezakan antara orang berilmu dan orang jahil dalam beribadah. Jika mereka berilmu, nescaya ibadah mereka akan mempunyai kualiti dan nilai yang hebat di sisi Allah SWT.

Selain itu, makna sebenar sebuah pengorbanan bukanlah bererti ia membiarkan dirinya hidup terseksa tetapi sebenarnya bertujuan mendekatkan dirinya kepada Allah SWT. Kebanyakan masyarakat kita salah dalam memahami erti pengorbanan. Contohnya apabila diucapkan aku berkorban untuk keluargaku, maka dia mengatakan bahawa dirinya sanggup bersusah payah demi mencari rezeki untuk keluarga tercinta. Memang benar sekali apa yang dilakukan tetapi makna korban yang difahami dalam kalangan kita adalah kurang tepat.

Sebagai seorang Islam kita mestilah meyakini bahawa setiap kesusahan dan kepayahan yang dilakukan demi keluarga, agama dan bangsa, semua ini sebenarnya adalah korban kepada Allah SWT iaitu mendekatkan diri kita kepada-Nya. Sekiranya apa yang kita lakukan itu membuatkan kita jauh daripada reda Allah SWT, maka kita masih belum mencapai matlamat sebenar korban. Inilah pemahaman yang sebenarnya yang perlu ada pada setiap orang Islam.

Justeru, kita sangat dituntut dan digalakkan melakukan ibadah korban ini kerana ia adalah sunat muakkad dan ganjarannya sangat besar sekali terutama bagi orang-orang yang mampu dan menepati syarat-syarat berkorban. Firman Allah SWT dalam surah al-Kauthar ayat 2 bermaksud: “Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai tanda bersyukur)”.

Semoga Allah SWT memberi kita kekuatan dan petunjuk dalam melaksanakan perkara-perkara ketaatan kepada-Nya dan seterusnya melayakkan kita untuk mengecapi syurga Firdaus yang paling tinggi di akhirat kelak. Amin.

 

 

 

 

Abdul Hadi Abd Aziz

Guru Bahasa Arab

Pusat Pengajian Bahasa

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

Categories
E-WacanaRencana
Subscribe