Allah SWT telah mewajibkan setiap individu muslim menasihati sesama mereka. Setiap mukmin harus menasihati saudaranya dan membimbingnya ke arah kebaikan dan menunjukkan jalan yang benar. Selain itu, mereka juga harus mengingatkan saudara mereka akan kebenaran sesuatu perkara dan prinsip-prinsip yang telah ditinggalkan jauh kerana mereka dilalaikan dengan kehidupan yang sentiasa sibuk dan urusan pekerjaan yang tiada noktahnya. Jadi mereka perlu menasihati saudara mereka dengan kebenaran dan kesabaran walaupun sukar untuk melakukannya umpama laluan yang dilaluinya penuh dengan onak duri.

Realiti ini telah termaktub dalam satu surah yang pendek di dalam al-quran, iaitu surah al-‘Asr. Allah SWT telah berfirman: “Demi masa, sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Dan berpesan-pesanlah dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran”.

Dalam surah ini, Allah SWT telah bersumpah dengan masa yang juga bermaksud tempoh dan juga waktu. Masa sangat besar nilainya di sisi manusia kerana ia diumpamakan seperti emas.

Asas makna al-’asr ialah menekan atau memerah sesuatu sehingga mengalir atau menitis. Contohnya: ‘asartu al-thawba, maksudnya: “Saya telah memerah baju itu”. Perahan tersebut bertujuan mengeluarkan air daripada baju tersebut. Oleh yang demikian Allah SWT telah mengibaratkan  awan-awan sebagai   mu’assirat yakni tempat perahan. Seperti yang difirmankan oleh Allah SWT dalam surah al-Naba’ ayat 14: “dan Kami telah turunkan air yang melimpah-ruah daripada awan-awan”.

Perumpaannya adalah awan-awan yang bertakung itu diperah dengan seperah-perahnya dan ditekan ke atasnya, lalu terpancut air keluar daripada tempat tersebut lantas turun dengan melimpah-ruah  dan mencurah-curah. 

Jadi memerah sesuatu bermakna menekannya untuk mengeluarkan sesuatu daripadanya. Maka begitulah masa dan umur manusia yang mana ia adalah satu proses perahan dan tekanan. Mereka mesti memerah dan menekan masa dan umur mereka serta seluruh jiwa raga mereka dengan sebaik mungkin untuk mendapat kebaikan, manfaat dan faedah daripada masa dan umur mereka.

Maka perahlah umurmu wahai saudaraku seislam dengan sebenar-benar perahan, tekanlah ia dengan bersungguh-sungguhlah serta berikan sepenuh perhatian agar kamu tidak mensia-siakan umur yang terhad ini. Jikalau kamu tidak memperelokkan perahan yakni umur dan masa kamu, nescaya kamu akan menyesal bila kehilangannya.

Sumpahan Allah SWT dengan masa menunjukkan bahawa manusia benar-benar berada dalam kerugian kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh serta berpesan-pesan dengan kebenaran dan kesabaran.

Setiap manusia berada dalam kerugian kerana mereka semua merugikan masa, umur dan waktu mereka dengan perkara sia-sia contohnya seperti berborak kosong atau bermain game tanpa ada hadnya. Mereka tidak pandai untuk memanfaatkan masa mereka dan ‘memerahnya’ sehinggah mereka tidak mendapat apa-apa kebaikan bermula dari jam ke hari, hari ke bulan, bulan ke tahun.

Empat sifat orang yang beruntung ialah:  

  • Orang yang beriman dan soleh
  • Orang yang melakukan amal kebajikan
  • Orang yang bepesan-pesan dengan kebenaran
  • Orang yang berpesan-pesan dengan kesabaran

Surah ini menceritakan empat sifat bagi orang-orang yang berjaya dan beruntung yang mana mereka pandai menjaga umur dan masa mereka. Ia merupakan sifat-sifat yang telah disebut secara tersusun oleh Allah SWT yang perlu ada pada setiap orang mukmin.

 

Hikmah Dimulai Dengan Sifat Keimanan

(alladhiina aamanuu): Ia bermula dengan sifat keimanan yang mana ia adalah sifat asas yang merangsang dan menggerakkan serta menggalakkan proses pemerahan umur dan penyusunan waktu. Ia adalah bekalan yang diperlukan bagi seorang mukmin untuk ‘memerah’ dan memulakan langkahnya. Sebagaimana iman ini adalah syarat untuk diterima amalan di sisi Allah SWT, maka jika sesuatu amalan itu tidak terbit daripada sifat keimanan seseorang, akibatnya amalan tersebut akan tertolak.

 

Amalan Soleh Adalah Tuaian Keimanan

(wa’amilussoolihaat): Dalam ayat ini, disebut perkataan amal soleh selepas perkataan iman kerana amal soleh adalah hasil tuaian keimanan. Amal soleh ini sangat luas bidangnya dan ia merangkumi segenap aspek kehidupan dan juga meliputi kesemua gambaran kebaikan dan manfaat yang ada serta diserapkan dalam kehidupan mereka sepanjang umur mereka sejak mereka ditaklifkan lagi sehinggalah saat kematian.

Amal soleh ini ialah hasil tuaian seseorang mukmin yang telah memerah umurnya dan menekannya sepanjang hidupnya yang mana pada ketika dia memerah hari-harinya, dia telah mengeluarkan hasilnya iaitu amal soleh dan memberi manfaatnya kepada orang lain.

Selain itu, segala amal soleh ini yang dilakukannya itu umpama air yang melimpah-ruah, mencurah-curah penuh dengan manfaat kepada manusia, seperti turunnya air dari awanan dan tempat perahan yang telah diperah dengan seperah-perahnya.

 

Cara Untuk Berpesan-Pesan Dengan Kebenaran

(Wa tawaasaw bil haq): Sifat yang ketiga bagi seseorang mukmin yang berjaya ialah berpesan-pesan dengan kebenaran.

Kebenaran di sini bermaksud ajaran Islam yang berpandukan kepada al-Quran dan hadith serta pemahaman para salafussoleh. Tambahan juga, kebenaran bermakna sesuatu hakikat yang diyakini, tetap, dan bersifat membimbing. Semua hakikat kebenaran ini disandarkan kepada Islam dan prinsip-prinsipnya yang mana tidak boleh keluar dari batasnya.

Sebenarnya berpesan-pesan dengan kebenaran ini tidak dapat dilaksanakan melainkan apabila sudah mengetahui sesuatu kebenaran. Oleh itu, sebelum memberi nasihat dan pesanan, seseorang itu mestilah mempunyai ilmu dan benar-benar memahami akan kebenaran sesuatu perkara terlebih dahulu walaupun sedikit.

Amalan ini adalah satu proses yang melibatkan dua pihak. Jadi, jika 1000 orang memberi pesanan, maka berlakulah seribu tindakan atau reaksi yang mana melibatkan dua pihak dan daripada hasil penglibatan ini terjadilah konsep saling pesan-memesan.

Sepatutnya setiap orang yang bergelar mukmin mesti mengetahui setiap kebenaran serta berpegang dengannya dan melakukan banyak amal kebajikan. Apabila bertemu dengan saudaranya, lalu mereka akan saling berpesan-pesan dan nasihat-menasihati secara berhikmah. Bukannya berbual kosong tanpa ada apa-apa manfaat.

Suasana tersebut adalah satu gambaran yang sama dalam kelas pembelajaran dan proses ulang kaji berkaitan sesuatu ilmu yang dibincangkan. Ia bertujuan untuk saling ingat-mengingatkan kebenaran sesuatu perkara sama ada berkaitan urusan dunia mahupun urusan akhirat. Oleh yang demikian, kita mestilah menghidupkan majlis-majlis ilmu di masjid, rumah dan juga di tempat-tempat kerja. Kita bertemu untuk saling ingat-mengingati dan berkongsi ilmu pengetahuan dan kebenaran sehingga kita tidak melupakannya.

Hikmah Berpesan-Pesan Dengan Kesabaran

(wa tawaasaw bis sabr): Sifat yang keempat yang disebut di dalam surah al-‘Asr ialah berpesan-pesan antara satu sama lain dengan penuh kesabaran.

Sifat ini adalah sifat yang keempat yang perlu ada bagi setiap orang mukmin selepas keimanan, amal soleh, dan berpesan-pesan dengan kebenaran. Berpesan-pesan umpama satu perjanjian dalam kalangan orang-orang mukmin yang mana mereka perlu berpegang dengan kebenaran dan sabar di atas segala kesusahan dan keperluan sama ada dalam bentuk masa, tenaga mahupun wang ringgit.

Jalan menuju kebenaran adalah satu jalan yang amat sukar kerana ia perlu dibayar dengan harga yang mahal iaitu harga mujahadah diri, harga perjalanan, dan harga untuk menentang musuh-musuh Islam.

Apabila seorang mukmin itu mengetahui hal ini dan takut serta risau akan dirinya dan saudara seislamnya menjadi lemah serta terjerumus ke dalam kesesatan dan kemungkaran, lalu mereka saling berpesan-pesan dengan sabar sehinggalah mereka bertemu dengan tuhan mereka.

Justeru, orang-orang yang memiliki keempat sifat-sifat ini, mereka adalah orang-orang yang berjaya dan beruntung di dunia dan di akhirat. Sebaliknya mereka adalah orang-orang yang rugi kerana mereka telah mensia-siakan umur mereka tanpa ‘diperah’ sebaiknya dan mereka rugi segala-galanya.

Inilah hakikat rahsia yang dapat dibongkarkan daripada surah al-’Asr ini yang mana ia mengajak kita untuk melengkapkan kita dengan sifat-sifat tersebut. Semoga dengan adanya sifat-sifat tersebut, kita dapat memanfaatkan setiap jam dalam seharian dan memperbanyakkan pesan-memesan sesama kita dan menjadikan ia sebagai syiar dalam sepanjang perjalanan hidup kita menuju Allah SWT.

 

 

 

Abdul Hadi Abd Aziz

Guru Bahasa Arab

Pusat Pengajian Bahasa

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)