BATU PAHAT, 21 Julai 2022 – Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan (FPTP), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menerokai satu sistem aplikasi Google yang dinamakan sebagai ‘Google Autocrat’ untuk menjana sijil elektronik atau Electronic Certificate (e-Cert) bagi tujuan pemberian Sijil Anugerah Dekan kepada pelajar.

Penggunaan sistem ini mampu menjana sijil elektronik dan mengedarkannya secara terus kepada pemilik sijil menerusi email rasmi siswa, tanpa cetakan dan tanpa perlu hadir ke pejabat.

Rentetan dari pendemik Covid-19 yang melanda negara sejak dua tahun lalu, pihak fakulti telah mengambil inisiatif untuk menangani masalah lambakan Sijil Anugerah Dekan di kaunter Pejabat Pentadbiran, yang mana ia telah memberi implikasi kepada ruang pejabat serta memberi kesan kepada pemegang taruh terbesar universiti iaitu pelajar.

Selain itu, e-Cert mampu membantu pentadbiran fakulti mengurangkan kos operasi bagi untuk mencetak ratusan Sijil Anugerah Dekan yang berulang pada setiap semester pengajian.

Selain menjimatkan kos, penjanaan sijil menerusi e-Cert menjimatkan masa dan lebih efektif berbanding pengeluaran sijil secara manual.

Tambahan pula penggunaan e-Cert mampu mengurangkan risiko berlaku kehilangan sijil atau rosak, yang mana jika berlaku sebarang kesilapan pada sijil, ia lebih mudah untuk dibetulkan dan mengedarkannya semula menerusi email kepada pemilik tanpa kos tambahan.

Pembangunan aplikasi penjanaan e-Cert diketuai oleh Timbalan Pendaftar Kanan Fakulti, Hawa Omar dengan dibantu oleh pelajar praktikal dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Melaka, Nurul Alia Anisa Md. Jamil.

Turut terlibat sebagai ahli projek, staf terdiri daripada Norina Alwee dan Rosriza Liyana Baseri @ Basri dari Bahagian Akademik dan Pelajar FPTP, Wan Faizah Abdullah, Nur Farzana Mohd Sofian dan Norshilah Salleh, Penolong-penolong Jurutera dari Jabatan Pengurusan Makmal dan Fasiliti FPTP.

Menurut Hawa, e-Cert telah mula dilaksanakan di FPTP bagi Sijil Anugerah Dekan Semester I dan II Sesi 2020/2021.

Jelas beliau, penerima Sijil Anugerah Dekan telah menerima sijil elektronik dalam dwi bahasa, iaitu bahasa Melayu dan bahasa Inggeris melalui emel siswa bermula 27 April 2022.

Selain penjanaan Sijil Anugerah Dekan, fakulti juga telah memanjangkan penggunaan e-Cert ini kepada penjanaan sijil penghargaan kepada syarikat-syarikat dan agensi luar yang menempatkan pelajar fakulti untuk Latihan Industri bermula Semester II Sesi 2020/2021.

“Tahniah diucapkan kepada semua ahli projek yang komited dan berdedikasi dalam menyelesaikan projek ini.

“Semoga usaha yang kecil ini dapat memberi manfaat yang besar bagi penambahbaikan yang berterusan (CQI) kepada tadbir urus di fakulti,” kata Hawa.