Oleh Md Fauzi Ahmad, Nazarudin Bujang, Mohamad Ali Selimin, Ahmad Nur Aizat Ahmad

BATU PAHAT – Fakulti Pengurusan Teknologi & Perniagaan (FPTP), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menganjurkan program webinar bertajuk “Publication and Industry Collobration” pada 1 Ogos 2022 lalu bagi memberi pendedahan kepada pensyarah, penyelidik dan pelajar berkaitan penerbitan jurnal dan kepentingan kerjasama dengan pihak industri.

Ketua FG Manufacturing Technology Management (MTM), FPTP, Profesor Madya. Ts. Dr. Md Fauzi Ahmad merangkap penyelaras program berkata webinar ini dianjurkan bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan dan keupayaan berkenaan penerbitan kepada pensyarah dan pelajar terutama penerbitan jurnal aras tinggi iaitu Q1, Q2 dan Q3.

Tambah beliau, penganjuran webinar itu juga bagi menerangkan teknik-teknik penulisan yang efektif dalam memastikan artikel yang dihantar diterima oleh pihak penerbitan jurnal yang berkaitan.

“Program ini juga turut mengalakkan pensyarah dan pelajar untuk menjalinkan kerjasama dengan pihak yang berkaitan seperti universiti dari dalam dan luar negara, pihak industri dan juga badan-badan professional,” katanya.

Penceramah dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) iaitu Profesor Dr. Huda Abdullah telah dijemput untuk berkongsi pengalaman tentang kaedah penulisan jurnal berimpak tinggi dan kepentingan kerjasama dengan penyelidik lain serta industri yang terbabit.

“Pihak kami berharap penganjuran program sebegini dapat membantu penyelidik dalam penerbitan jurnal berimpak tinggi pada masa akan datang sekali gus membantu universiti meningkatkan penerbitan yang berkualiti tinggi.

Beliau turut melahirkan rasa syukur kerana program ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pensyarah dan juga pelajar.