PULAU PINANG – Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FKEE), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) berjaya memenangi Anugerah khas Robocon Malaysia 2022 kategori Reka Bentuk Terbaik pada 5 Jun 2022 lalu.

Kumpulan pelajar UTHM mempertaruhkan robot mereka yang dikenali sebagai R1 dan R2 di pertandingan yang melibatkan penyertaan 24 pasukan dari 20 universiti seluruh Malaysia.

Mereka terdiri daripada Muhammad Zulhilmi Naim Azmi, Ahmad Haziq Ahmad Yusof, Nurul Ainaa Juhari, Nur Fazrina Abdul Rahim, Ahmad Zaim Amin Selamat, Nur Fazlin Mohamad Idros, Mohammad Izzat Azahar, Ahmad Syarizal Mohd Zubir, Mahamat Idriss Mahamat, Mohd Izzul Ariffi Ardani dan Muhammad Azharruddin Angsor.

Kumpulan ini diselia oleh Ir. Dr. Budiman Azzali Basir dan Rosley Sawarno.

Menurut Dr. Budiman, rekaan robot ini berasaskan konsep modular iaitu base module, control module dan game module.

Robot R1 menggunakan swerve drive mechanism yang mana pasukan UTHM menjadi pasukan pertama membangunkan dan menggunakan mekanisma swerve drive dalam pertandingan Robocon peringkat kebangsaan.

“Ia juga mempunyai shooting mechanism yang dipasang pada dasarnya dengan 2 degree of freedom (DOF) yang membolehkan ia menyasarkan bola ke Ball on Head pihak lawan.

“Reka bentuk robot yang berkonsepkan plug and play serta unik ini adalah disebabkan ciri-ciri mekanismanya yang belum pernah digunakan di dalam pertandingan Robocon Malaysia sebelum ini,” katanya.

Sementara itu Dekan FKEE, Profesor Madya Dr. Rosli Omar turut merakamkan ucapan tahniah beliau kepada pasukan ini.

“Saya berharap kejayaan pasukan ini dapat memberi motivasi kepada pasukan akan datang dan pelajar-pelajar lain untuk terus bersaing, sentiasa melihat ke hadapan dan juga berusaha mengharumkan nama universiti.

“Pertandingan ini bukan sekadar satu pertandingan, ianya juga merupakan platform bagi pelajar untuk mempelajari reka bentuk, kemahiran baharu dan mewujudkan jaringan kerjasama bersama universiti luar,” katanya.

FKEE juga mengucapkan terima kasih kepada Pusat Pembangunan Pelajar (PBP) dan Pejabat Hal Ehwal Pelajar (PHEP) UTHM atas sokongan dan bantuan sepanjang perjalanan Robocon 2022.

Tonton perjalanan dan hasil reka cipta mereka untuk Robocon Malaysia 2022 di pautan berikut,  https://youtu.be/bGdNtqoIPJE

 

Berita ini juga telah diterbitkan dalam :

1. sinarbestari.sinarharian.com, 14 Jun 2022 : https://sinarbestari.sinarharian.com.my/ipt/uthm-raih-anugerah-reka-bentuk-terbaik-di-robocon-malaysia-2022/