BATU PAHAT, 19 Jun 2022 – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) sentiasa menyokong hasrat negara dalam memperkasakan agenda Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) pengajian tinggi sekali gus menghasilkan tenaga kerja berkemahiran menjelang 2030.
Bagi menzahirkan tanda sokongan tersebut, satu Majlis Perasmian Pemerkasaan TVET dan Kerjasama Strategik UTHM-Industri telah diadakan hari ini bertempat di Dewan Sultan Ibrahim, kampus induk.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad hadir menyempurnakan majlis tersebut sekali gus menjadi saksi bagi sesi menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara UTHM dengan 32 wakil industri.
Menurut Datuk Noraini, pihaknya sangat menyokong inisiatif UTHM dalam mewujudkan kerjasama dengan 32 industri sebagai usaha memperkasakan mahasiswa dan memantapkan lagi kelestarian IPT, khususnya dalam bidang keusahawanan dan teknikal.
“Kerjasama UTHM-Industri dalam bidang kebolehpasaran graduan, akademik dan juga penyelidikan ini menjadi bukti komitmen serta kesungguhan pihak UTHM dalam memastikan keberkesanan pelaksanaan program yang telah dirancang,” katanya.
Lebih membanggakan, UTHM menjadi satu-satunya universiti awam di Malaysia ini yang mendapat pengiktirafan sebagai Pusat Bertauliah di bawah Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Kementerian Sumber Manusia.
Sejak adanya pengiktirafan ini, UTHM telah berjaya melahirkan 1,086 orang graduan yang mempunyai ijazah bersekali dengan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM).
Bahkan, Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional (FPTV), UTHM turut diiktiraf sebagai Pusat Pensijilan untuk Certification Service Technician Programme (CSTP) oleh Jabatan Alam Sekitar.
“Pengiktirafan seumpama ini sudah tentu memberikan peluang kepada institut pengajian tinggi (IPT) seperti UTHM untuk melahirkan lebih ramai graduan yang mempunyai kemahiran keusahawanan dan juga teknikal,” katanya.
Pada majlis tersebut, beliau turut melawat booth pameran serta merasmikan Projek Pilot bagi Teknousahawan Work@Campus, Pusat Bertauliah JPK & CSTP, Centre of Industry (Digital Innovation Centre – DICE) dan TVET-UNiTY.
Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Dr. Mohd Zabri Yusoff, Ketua Pengarah, Jabatan Pendidikan Tinggi KPT, Prof. Dato’ Dr. Husaini Omar, Naib Canselor UTHM, Prof. Ts. Dr. Ruzairi Abdul Rahim, Presiden Federation of Malaysian Manufacturers (FMM), Tan Sri Dato’ Soh Thian Lai, Pegawai Daerah Batu Pahat, Tuan Haji Nasri Md Ali dan Timbalan-Timbalan Naib Canselor dan Provost UTHM Kampus Cawangan Pagoh.