BATU PAHAT – Bagi meningkatkan lagi kemahiran yang ada, pelajar Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional (FPTV), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah mengambil inisiatif menyertai program Kemahiran TVET Seni Ukiran Makanan yang diadakan pada 26 Mei 2022 lalu.

Program asas seni ukiran buah dan sayuran dengan kerjasama Kolej Komuniti Bandar Tenggara ini melibatkan penyertaan 26 pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Vokasional (Katering).

Penganjuran program ini bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada kumpulan sasaran iaitu pelajar tahun akhir untuk mengenali pelbagai jenis seni ukiran bagi meningkatkan kemahiran dan kreativiti mereka.

Program seni ukiran telah disampaikan oleh tiga tenaga pengajar dari Kolej Komuniti Bandar Tenggara iaitu Noor Azuah Abu Bakar, Suzy Bujum dan Noraizi Tulis.

Menurut Pensyarah FPTV, Dr. Nor Aziah Ahmad program sebegini dapat membantu pelajar untuk belajar cara ukiran dalam pelbagai bentuk yang diingini, yang bermatlamat untuk menarik perhatian ramai.

” Saya percaya semua individu memiliki daya kreativiti dalam diri masing-masing dan seni ini amat mudah dipelajari.

“Ukiran yang artistik memerlukan tumpuan dan kesabaran dalam menghasilkan sesuatu hiasan sekali gus mampu membantu pelajar menjana pendapatan berdasarkan hasil kerja yang mereka siapkan kelak,” katanya.

Secara keseluruhannya, program yang dijalankan secara hands-on itu dapat meningkatkan nilai tambah pelajar dalam memastikan mereka mampu untuk bersaing selepas bergraduan nanti.