Oleh Nurshaidah Mohd Sari

BATU PAHAT – Bagi memberi pendedahan awal berkaitan kaedah pelaksanaan sesuatu penyelidikan, Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional (FPTV), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) melalui Pusat Penyelidikan Sustainable Professional Education for Excellent Development (SPEED) telah menganjurkan kolokium Qualitative and Quantitative Research Colloquium Series (Q2RCS) 2022.

Q2RCS ini bertujuan memberi pendedahan terhadap kemahiran dan keperluan dalam melaksanakan sesuatu penyelidikan sama ada menggunakan pendekatan kualitatif atau kuantitatif.

Program ini terbahagi kepada tiga siri iaitu siri kualitatif yang telah diadakan pada 30 hingga 31 Mei 2022 dan siri kuantitatif pada 7 hingga 8 Jun 2022 lalu.

Q2RCS 2022 yang dianjurkan secara dalam talian ini disertai 77 peserta dalam kalangan pelajar, pensyarah dan juga penyelidik.

Program ini bukan sahaja mendapat sambutan dari dalam negara, malah turut mendapat penyertaan dari Indonesia, United Kingdom dan Nigeria.

Menurut ketua CoR-SPEED, Profesor Madya Ts. Dr. Mimi Mohaffyza Mohamad program ini bakal dijadikan sebagai program tahunan fakulti dengan penambahbaikan menerusi maklumbalas yang diterima daripada para peserta mereka.

Para peserta juga memberi maklum balas positif dan berharap UTHM dapat menganjurkan lebih banyak lagi sesi kolokium seumpama itu pada masa akan datang kerana perkongsiannya sangat bermanfaat.

Tambah mereka program itu memberi kefahaman yang sangat jelas daripada ahli panel yang berkongsi pengalaman mereka sendiri dalam menjalankan sesuatu kajian.

Sementara itu, Q2RCS 2022 akan diteruskan lagi dengan siri ‘Ask Dr. Nur’ secara berkala iaitu pada 26 Jun, 24 Julai, 28 Ogos dan 25 September 2022.

Siri Ask Dr Nur ini merupakan bengkel konsultasi secara personal oleh Dr. Nur Sofurah Mohd Faiz, pakar penyelidik kualitatif yang diiktiraf oleh Qualitative Research Association of Malaysia (QRAM).

Siri ini juga terbuka kepada pelajar sahaja yang memerlukan khidmat nasihat berkaitan dengan kajian kualitatif mereka.

Kepada para pelajar yang memerlukan khidmat konsultasi tersebut, boleh mendaftar sebelum penyertaan ditutup.

Untuk keterangan lanjut, boleh emel terus ke q2rcseries@gmail.com.

 

*Sesi soal dan jawab dalam Q2RCS (Siri Kualitatif) pada 31 Mei 2022.

*Ahli Jawatankuasa Pelaksana Q2RCS 2022.

*Hebahan siri ‘Ask Dr. Nur’ yang dilaksanakan secara berkala.