BATU PAHAT – Bagi melahirkan jiwa keusahawanan dalam kalangan pelajar, Pusat Teknousahawan Universiti (PTU) telah menganjurkan program New Breed Marketing Entrepreneur (NBME) melibatkan 82 pelajar pada 17 Mei 2022 lalu bertempat di Dewan Al-Jazari, Perpustakaan Tunku Tun Aminah, UTHM.

Program ini merupakan usahama antara PTU dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

Bagi tujuan tersebut, FAMA turut melibatkan 12 pegawainya bagi menjayakan sesi perkongsian ilmu keusahawanan sepanjang program berlangsung.

Menurut Pengarah PTU, Dr. Nasuha Sa ude, selain berkongsi ilmu keusahawan, program ini juga bertujuan untuk melahirkan usahawan baharu khususnya dalam kalangan pelajar IPTA/IPTS melalui pendigitalan pemasaran (Dropship/egen Pemasar) produk agromakanan.

“Program ini juga untuk memberi nilai tambah kepada pelajar yang akan mempunyai perniagaan digital mereka sendiri melalui pendaftaran sebagai ejen pemasar NBME di platform Agrobazaar Online,” katanya.

Agrobazaar Online merupakan satu platform pemasaran maya produk pertanian dan agro-makanan yang menemukan pengeluar, pengilang, pembekal dan pengguna yang dibangunkan oleh FAMA.

Ia juga mempromosikan pasaran baharu dan mampan bagi produk pertanian dan agromakanan dengan mewujudkan komuniti dalam talian untuk meningkatkan kualiti hidup masyarakat tani.

Komponen utama platform ini termasuklah latihan, khidmat sokongan, platform perdagangan, pembangunan komuniti, rantaian nilai perniagaan dalam talian dan luar talian.

Tambah Dr. Nasuha, penganjuran program yang dirasmikan oleh Pengarah FAMA Negeri Johor, Tuan Shahrizan Sudiman ini diharapkan dapat memberi peluang khususnya kepada warga UTHM untuk mewujudkan semangat keusahawanan dalam menuju Global Technopreneur University 2030 (GTU2030).

“Pihak universiti bertanggungjawab menyediakan ekosistem keusahawanan untuk menggalakkan pelajar memperkasakan kemahiran keusahawanan melalui penglibatan syarikat pelajar dalam aktiviti perniagaan di universiti,” katanya.

Program berlangsung dengan dua sesi, yang mana sesi pertama pelajar didedahkan dengan pengenalan kepada FAMA dan Agrobaazar online manakala sesi kedua pula melibatkan perkongsian dan cara-cara mendaftar akaun di Agrobaazar Online.

Gerai jualan daripada beberapa usahawan luar yang menghadiri kursus NBME ini antaranya Salleh Food, Yat Cookies, Nourlie Cookies, Ieja Food, Gerai Ayam Kapten, Dhuha Mart, Ailyn Food dan PMMF Rengit turut memeriahkan lagi program.