BATU PAHAT – Sebagai persediaan memulakan perniagaan secara dropship, seramai 211 orang pelajar hadir ke Program Seminar Dropship and Agent 101 (DNA) anjuran Pihak Teknousahawan Universiti (PTU), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) pada 28 Mei 2022 lalu.

Program dengan kerjasama Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) ini merupakan siri jelajah DNA Campus Outreach kali ketiga selepas program sama diadakan di Universiti Malaysia Sabah dan Universiti Malaysia Kelantan oleh INSKEN.

Program DNA ini merupakan platform awal kepada pelajar dan bakal-bakal graduan yang berminat untuk menjalankan perniagaan mereka sendiri tanpa modal permulaan.

Peserta dilatih oleh industri dan seterusnya dibimbing oleh pengasas produk secara konsisten, sistematik dan bersasar.

Objektif program ini adalah untuk memberi pemahaman asas mengenai konsep, teknik dan strategi perniagaan dropship dan ejen.

Program ini juga membolehkan bakal dropshipper mencari produk atau pengasas produk yang sesuai untuk mereka sertai sebagai dropshipper dan menjual produk tersebut.

Melalui program ini, peserta dibekalkan enam modul untuk tujuan pembelajaran bersama pelatih jemputan, Tuan Ahmad Fairus Mohamed Noor.

Pelajar didedahkan dengan pengenalan kepada dropship dan hala tujunya dalam bidang keusahawanan, tips pemilihan produk dan pembekal, bagaimana mewujudkan sistem dalam talian untuk tujuan perniagaan seperti penggunaan aplikasi WhatsApp Business, Instagram, Facebook dan TikTok.

Ketika seminar ini berlangsung, peserta juga berpeluang menyuarakan matlamat dalam perniagaan mereka serta perancangan masa hadapan sebagai usahawan muda.

PTU merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada pihak universiti khususnya Pejabat Pembangunan dan Penyenggaraan dan Perpustakaan Tunku Tun Aminah yang menyediakan fasiliti untuk menjalankan program ini serta Pejabat Hal Ehwal Pelajar yang menyediakan bas untuk perjalanan 90 pelajar kampus Pagoh.