PTU rai rakan kolaborasi strategik dalam majlis sambutan hari raya

BATU PAHAT, 12 Mei 2022 – Bagi meraikan rakan kolaborasi strategik, Pusat Teknousahawan Universiti (PTU) telah menganjurkan Majlis Sambutan Hari Raya dan Penyerahan Surat Niat bertempat di Dewan Terbuka, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

Program ini bertujuan untuk mengeratkan ukhuwah dan bersuai kenal antara PTU dan  rakan strategik. Selaras dengan matlamat universiti untuk muncul sebagai sebuah universiti yang menuju ke arah Global Technopreneur University (GTU 2030), PTU komited mewujudkan beberapa kolaborasi strategik bersama agensi luar bagi meningkatkan jalinan kerjasama.

Program ini juga dilaksanakan bagi membincangkan aktiviti dan usahasama yang akan dijalankan oleh PTU sepanjang tahun 2022 di samping meningkatkan kerjasama strategik bersama pihak rakan kolaborasi.

Sebanyak 12 buah agensi dan syarikat kolaborasi strategik PTU hadir memeriahkan majlis bersama-sama usahawan pelajar UTHM.

Kehadiran melibatkan agensi daripada Iskandar Regional Development Authority (IRDA), Kompleks Kraf Johor, Tekun Nasional Berhad, PA Recruitment Sdn. Bhd, Smoke Coffee, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Perbadanan Usahawan Johor Sdn. Bhd (PUJB), Celcom Axiata Sdn. Bhd, Uda Angsana Sdn. Bhd, Pitch Platform Sdn. Bhd, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Glories Gadget (M) Sdn Bhd.

Turut diadakan, sesi penyerahan surat niat kepada Rakan Kolaborasi Strategik PTU bagi memudahkan kerjasama antara kedua belah pihak dalam menjalankan program-program keusahawanan pada masa hadapan.

Universiti juga bertanggungjawab menyediakan ekosistem keusahawanan untuk menggalakkan pelajar memperkasakan kemahiran TVET melalui penglibatan syarikat pelajar dalam aktiviti perniagaan melalui inkubator yang akan ditubuhkan di Fakulti, Pusat Tanggungjawab dan Kolej Kediaman serta Work @ Campus (W@C).

Pelajar akan diberikan galakan serta bimbingan untuk menubuhkan syarikat melalui SSM dan melengkapkan syarat-syarat yang diperlukan untuk menjadi sebuah syarikat berkelayakan untuk menyertai peluang perniagaan di universiti.

Adalah menjadi harapan pihak PTU agar program-program keusahawanan yang dirancang akan melibatkan penglibatan pelajar UTHM sama ada sebagai pemilik syarikat atau sebagai pekerja kepada syarikat pelajar yang diberikan peluang perniagaan dalam universiti.

Dengan kehadiran tetamu yang cukup memberangsangkan, majlis ini membuktikan sokongan padu pelbagai pihak terhadap usaha-usaha universiti, dalam mencapai pelan strategik menuju GTU 2030.

PTU sangat komited membudayakan keusahawanan sama ada konvensional, teknikal mahupun yang berasaskan inovasi dan teknologi dalam kalangan pelajar UTHM yang dipacu secara digital.

 

Rakan Kolaborasi PTU dan Penyelaras Keusahawan yang hadir.

Categories
Keusahawanan
Subscribe