BATU PAHAT, 20 Apr 2022 – Pusat Teknousahawan Universiti (PTU) telah menganjurkan program Meet & Greet Bersama Usahawan Siswa/Siswa Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) bertempat di perkarangan Perpustakaan Tunku Tun Aminah pada 20 April 2022.

Program suai kenal ini diadakan bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan antara pihak PTU dan usahawan pelajar selain memberi ruang dan peluang kepada mereka untuk bersuai kenal dengan semua warga kerja PTU.

Pada sesi tersebut, Pengarah Pusat Teknousahawan Universiti, Dr. Nasuha Sau’de telah berkongsi pengalaman beliau serta memberi sedikit ilmu keusahawanan kepada para pelajar yang hadir.

Hadir sama, Muhammad Azwan Akimat dan Abd Jalil Sulaiman, Pegawai dari Federal Agricultural Marketing Authority (FAMA) cawangan Batu Pahat dan negeri Johor bagi meraikan sesi pertemuan tersebut.

Pada sesi ini, Pihak FAMA turut menyampaikan sedikit perkongsian berkaitan peluang perniagaan yang ditawarkan oleh pihak mereka.

Menurut Dr. Nasuha, PTU menyediakan platform untuk para pelajar mempamerkan kebolehan dalam mempromosikan perniagaan masing-masing, selaras dengan matlamat universiti untuk muncul sebagai sebuah universiti yang menuju ke Global Technopreneur University (GTU 2030).

Tambah beliau, PTU sedia memberi peluang dan pengalaman secara praktikal kepada pelajar UTHM dalam menyertai aktiviti perniagaan yang dianjurkan.

“Pusat ini juga sangat komited menganjurkan sesi ‘student engagement’ bagi mengenali usahawan pelajar dengan lebih dekat.

“Perkara ini dapat dibuktikan melalui penganjuran program Meet & Greet, yang mana para pelajar berpeluang memperkenalkan diri masing-masing serta berkongsi perniagaan yang mereka jalankan,” tambahnya.

Muhammad Nor Aqkmar Mohd Idris, pelajar Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional (FPTV) yang juga salah seorang wakil Majlis Perwakilan Pelajar telah menjalankan perniagaan kereta sewa di sekitar kawasan universiti. Menurut beliau, pendapatan bulanan yang dicapai lebih RM10 ribu sebulan.

Muhammad Nauman Salik, yang merupakan salah seorang pelajar antarabangsa di Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FKMP) telah menjalankan perniagaan import dan export bagi produk pelitup muka ketika pandemik Covid-19 melanda dunia. Beliau mendapatkan bekalan pelitup muka dari Pakistan dan mengeksportnya ke China.

Dr. Nasuha berkata kerjasama antara PTU dan usahawan pelajar ini mampu melahirkan mahasiswa yang serba boleh, bukan sahaja dalam bidang akademik tetapi juga bidang keusahawanan.

“Majoriti pelajar yang menyertai program tersebut mempunyai pelbagai jenis perniagaan antaranya seperti dobi persendirian, kedai percetakan, cenderahati dan kereta sewa.

“Jika mereka diasah dengan ilmu keusahawanan, sudah pasti mereka dapat mengembangkan perniagaan mereka ke peringkat yang lebih tinggi.

“Program engagement sebegini akan diteruskan lagi dari semasa ke semasa bagi membina hubungan baik dengan usahawan pelajar UTHM,” kata Dr. Nasuha.