Projek SULAM FKEE, UTHM laksana pemasangan sistem fertigasi di lima sekolah

BATU PAHAT – Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FKEE), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah melaksanakan aktiviti pemasangan sistem fertigasi secara percuma di lima sekolah melalui projek Service Learning Malaysia (SULAM) teknologi fertigasi.

Lima sekolah sekitar Batu Pahat telah dipilih bagi menjayakan projek ini iaitu SMK Munshi Sulaiman, SMK Senggarang, SMK Tun Ismail, SMK Banang Jaya dan Sekolah Islam Hidayah.

Projek yang turut mendapat kerjasama daripada NZ Kota Enterprise itu bermula pada April 2022 dan selesai sepenuhnya pada 16 Jun 2022.

Program yang diketuai oleh Prof. Madya Ir. Dr. Abd Kadir Mahamad turut dibantu oleh Ts. Sharifah Saon, Prof. Madya Dr. Maisara Othman, Dr. Herdawatie Abd Kadir serta pelajar kursus Jurutera dan Masyarakat (BEE 32302) semester II sesi 2021/2022 dan Kelab Kejuruteraan Elektrik (KKE).

Teknologi fertigasi merupakan salah satu tajuk dalam silibus matapelajaran pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi dan Program Pendidikan Khas Inklusif (PPKI), dan bab Aplikasi Teknologi dalam matapelajaran Reka Bentuk dan Teknologi (RBT).

Projek pemindahan ilmu ini dimulakan dengan lawatan tapak, pembersihan tapak, penyediaan dripper set, pemasangan weed mat, pemasangan lengkap set fertigasi dan penanaman 100 pokok terung bagi setiap sekolah.

Menurut Dr. Abd Kadir pemasangan set fertigasi ini merupakan tapak mula kepada projek-projek SULAM pada semester pengajian akan datang.

“Ini kerana, SULAM FKEE dalam perancangan untuk mengembangkan lagi projek fertigasi sedia ada dengan penambahan sistem dan aplikasi lain, seperti aplikasi Internet of Things, Big Data Analytics dan Blockchain.

Untuk rekod, SULAM merupakan satu kaedah pengajaran dan pembelajaran yang menggabungkan objektif pembelajaran kursus dengan khidmat komuniti yang melibatkan pelajar berinteraksi dengan komuniti bagi menyelesaikan permasalahan setempat dengan menggunakan pengetahuan dan kemahiran yang mereka pelajari di bilik kuliah.

Sementara itu Dekan FKEE, Profesor Madya Dr. Rosli Omar turut merakamkan ucapan tahniah beliau kepada pasukan tersebut.

“Saya berharap lebih banyak kursus terlibat dengan SULAM agar dapat melatih para pelajar untuk bersama membantu menyelesaikan keperluan komuniti.

“Secara tidak langsung projek fertigasi ini dapat melindungi alam sekitar dan meningkatkan kualiti pembelajaran di komuniti terpilih”, katanya.

Dengan sumbangan set fertigasi ini diharap dapat membantu pelajar di sekolah terpilih memahami teknologi fertigasi dengan lebih dekat dan secara praktikal.

FKEE turut menzahirkan penghargaan kepada Unit Pendidikan Khas, Pejabat Pendidikan Daerah Batu Pahat (PPDBP) dan semua yang terlibat sepanjang perjalanan Projek SULAM Fertigasi FKEE. 

Tonton perjalanan  projek SULAM ini di pautan berikut;

https://www.facebook.com/groups/749238372946487

 

Categories
Kejuruteraan Elektrik dan ElektronikSosial , Kebajikan dan Masyarakat
Subscribe