Oleh Diviya A/P Gumanan, Lim Xin Wei

BATU PAHAT – Program Catches of IoT berjaya mencungkil bakat 35 pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Sains Hulu Terengganu, Terengganu untuk membina satu aplikasi Android.

Program Kursus Kokurikulum Berkredit (KKB) Pengurusan Kreativiti, di bawah Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum (PPUK), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) ini diadakan pada 18 Jun 2022 lalu secara dalam talian.

Program yang telah disempurnakan oleh Ketua Jabatan Keusahawanan, Daya Usaha dan Inovasi, dan Sastera Liberal, PPUK, Dr. Mohd Azhar Harimon ini bertujuan untuk memberi pendedahan awal kepada para peserta tentang Internet of Things (IoT) dan pembinaan aplikasi Android.

Program tersebut diisi dengan sesi ceramah oleh penceramah jemputan iaitu Mohamad Ariffin Zulkifli dari syarikat My Invent Technology. Beliau merupakan pelatih IoT yang banyak memberi bimbingan dan latihan kepada pelajar sekolah dan politeknik.

Menurut Pengarah program, Mohd Afiq Irfan Fauzi para peserta memberi reaksi yang sangat positif ketika berlangsungnya sesi soal jawab, yang mana mereka banyak bertanya soalan berkaitan dengan IoT, masa depan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0), dan juga tentang penerapan bidang IoT di sekolah.

Tambah beliau, para pelajar sangat teruja untuk membina aplikasi Android mereka sendiri.

“Ada dalam kalangan peserta telah memenangi Aplikasi Android Kreatif dan ada juga yang telah memenangi hadiah bagi pertandingan kuiz,” katanya.

Pemenang tempat pertama bagi pertandingan Aplikasi Android Kreatif,  Aiman Haziq Tajor Nor Amaram berkata beliau sangat beruntung kerana berpeluang menyertai program sebegini dan berharap program ini dapat dilaksanakan lagi pada masa akan datang.

Selain itu, daripada borang maklum balas yang diterima oleh pihak penganjur, 82 peratus pelajar sangat memahami dan boleh mengaplikasikan kemahiran yang dipelajari dengan sangat baik.