Oleh Siti Nur Shuhada Jamal

BATU PAHAT – Sebagai usaha memperkasakan lagi elemen Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di peringkat sekolah rendah, satu program Fun Learning Corner bersama murid- murid Sekolah Rendah Agama Bersepadu (SRAB) Batu Pahat telah diadakan pada 31 Mei 2022.

Empat pelajar Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) bagi subjek ‘Profesional di Tempat Kerja’ di bawah bimbingan Prof. Madya Dr. Ahmad Jais Alimin,telah diberikan tanggungjawab untuk mengendalikan program ini.

Program yang disempurnakan oleh Guru Besar SRAB, Faizal Yunos.melibatkan penyertaan 72 murid yang terdiri daripada murid tahun 4 dan 5.

Objektif penganjuran adalah untuk menarik minat murid berkaitan ilmu STEM selain sebagai platform perkongsian ilmu kepada masyarakat yang berfokuskan kepada empat bidang tersebut.

Untuk rekod, pendidikan STEM adalah antara agenda yang diberikan penekanan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

Murid-murid telah didedahkan dengan aktiviti berkaitan “Hydraulic Arm” menggunakan Prinsip Pascal iaitu menggerakkan satu bahagian ke bahagian lain melalui tekanan cecair.

Model jengkaut yang dibina oleh kumpulan pelajar UTHM telah digunakan sebagai alat demonstrasi dan aplikasi dalam program ini.  

Selain itu, model jengkaut yang telah dibina itu juga akan diserahkan kepada pihak sekolah bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran murid-murid di SRAB.

Kesemua murid berjaya menguasai ilmu yang disampaikan dan mempunyai kemahiran berfikir aras tinggi selain inovatif dan celik teknologi.

Di akhir program, permainan mini dan hadiah cabutan bertuah turut diadakan sebagai program sokongan bagi memeriahkan lagi penglibatan murid-murid dalam program ini.

FKMP berharap penganjuran program pemindahan ilmu seumpama ini dapat diteruskan dan dikembangkan lagi dalam pelbagai bidang.

Inisiatif ini sebagai salah satu usaha bagi membangunkan modal insan yang berpengetahuan, berkemahiran dan mempunyai nilai murni bagi mencapai status negara maju.