Program pemindahan ilmu FPTV, bantu pelajar sekolah kuasai teknologi Arduino

BATU PAHAT, 28 Mei 2022 – Biarpun bukan berlatar belakangkan bidang kejuruteraan elektrik atau elektronik, ia tidak menjadi penghalang kepada pelajar sarjana Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional (FPTV), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) untuk melaksanakan program pemindahan ilmu berkaitan teknologi Arduino.

Program melalui subjek Sosiologi Pendidikan yang dinamakan One Step Ahead: Zero To Hero Arduino telah dilaksanakan di Sekolah Menengah Sains Johor, Kluang (SMSJ), melibatkan 30 pelajar yang menyertainya secara teori dan praktikal.

Menurut wakil Pelajar, Mohamad Khairi objektif program pemindahan ilmu sebegini diadakan untuk mengajar dan membina pengetahuan asas Arduino melalui software Arduino IDE dan diaplikasikan ke dalam reka bentuk bagi sesuatu produk semasa sesi pembelajaran di dalam kelas.

Ia juga bertujuan menyelesaikan masalah dengan membangunkan sebuah produk menggunakan Arduino dan reka bentuk bagi mengatasi masalah yang dihadapi.

Selain itu, program ini untuk memberi pefahaman dalam pengaplikasian dan meningkatkan minat pelajar berkaitan dengan teknologi dan reka bentuk menggunakan Arduino.

“Pihak kami mendapat maklumat ada pelajar SMSJ akan terlibat dengan pertandingan inovasi Arduino, atas sebab itulah kami usahakan untuk menyampaikan seberapa banyak ilmu kemahiran yang ada bagi membantu mereka menyelesaikan masalah dan membina kemahiran kognitif, psikomotor dan afektif,” katanya.

Sementara itu, pihak FPTV pula berharap penganjuran program sebegini dapat membantu pelajar UTHM memperkukuhkan peranan mereka dalam menyebarkan ilmu pengetahuan kepada masyarakat khususnya komuniti setempat.

 

 

Categories
Pendidikan Teknikal VokasionalSosial , Kebajikan dan Masyarakat
Subscribe