Dua pensyarah FTK sertai lawatan kerja ke Karachi, Pakistan

KARACHI – Dua pensyarah Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) iaitu Ts. Dr. Siti Hana Nasir dan Ts. Dr. Azrin Hani Abdul Rashid terpilih menyertai lawatan kerja ke Karachi, Pakistan yang diadakan pada 8 hingga 12 Mei 2022 lalu.

Lawatan kerja ini merupakan salah satu daripada rangkaian kerja di bawah projek SMARTEX yang dibiayai oleh geran kesatuan Eropah, Erasmus+.

Menurut Dr. Siti Hana, projek ini memfokuskan kepada pembangunan kurikulum Technical Textiles dan juga Smart Textiles, di samping memberi peluang latihan kepada staf dan pelajar dalam bidang tersebut.

Rakan kerjasama projek yang terlibat adalah dari Greece, Sepanyol, Belgium, Pakistan dan Indonesia.

“Program ini memberi peluang kepada kami untuk menyertai seminar, lawatan dan mesyuarat bersama NED Univ of Engineering and Technology, iaitu sebuah institusi pendidikan tinggi awam di Karachi dan juga industri tekstil terkemuka di Pakistan, Soorty Enterprises Pvt. Ltd.,” ujar beliau.

Antara aktiviti yang terlibat adalah mesyuarat bersama pengurusan tertinggi NED University of Engineering, yang dipengerusikan oleh Naib Canselor, Engr. Prof. Dr. Sarosh Hashmat Lodi.

Sesi perbincangan turut diadakan bersama staf akademik Jabatan Kejuruteraan Tekstil bagi berkongsi kepakaran serta peluang kolaborasi.

Selain itu, satu sesi seminar perkongsian ilmu juga turut diadakan bersama pelajar-pelajar universiti tersebut.

Peluang untuk melawat salah sebuah industri pembuat fabrik denim dan pakaian terkemuka dunia yang terletak di Karachi, iaitu Soorty Enterprises Pvt. Ltd. juga menjadi pengalaman yang sangat menarik.

Delegasi lawatan juga diberi peluang untuk memberikan perkongsian berkaitan pengurusan sisa tekstil kepada pihak industri.

Lawatan kerja ini memberikan impak yang sangat positif dalam membina hubungan kolaborasi di peringkat antarabangsa dengan lebih efektif.

Sesi lawatan balas dari ahli-ahli projek SMARTEX ke UTHM Pagoh akan diadakan pada Julai 2022 akan datang bagi melihat fasiliti di kampus selain mengadakan program perpindahan ilmu khususnya kepada staf dan pelajar di UTHM.

Categories
Teknologi dan Kejuruteraan
Subscribe