BATU PAHAT – Prihatin dengan kebajikan komuniti setempat, sekumpulan penyelidik dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah membantu masyarakat orang asli Kangkar Senangar, Parit Sulong, Batu Pahat mendapatkan bekalan air bersih di perkampungan mereka.

Pada 6 Julai lalu, satu program pemindahan ilmu telah dianjurkan Jabatan Teknologi Kejuruteraan Awam (JTKA), Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK) dengan kerjasama Pejabat Pentadbiran UTHM-Kampus Pagoh.

Sekumpulan penyelidik dari FTK yang diketuai oleh Dr. Mimi Suliza Muhamad telah memperkenalkan sistem penapisan air berinovasi bagi membantu komuniti orang asli Kangkar Senangar menikmati air bawah tanah yang bersih untuk kegunaan harian.

Menurut Dr. Mimi, sistem penapisan yang dibina oleh pihak mereka itu terdiri daripada beberapa lapisan pasir dan batu sungai berserta penjerap makrokomposit yang diperbuat daripada sisik ikan talapia.

“Sistem ini dapat menyingkirkan bahan pencemar di dalam air bawah tanah seperti bahan-bahan organik dan tidak organik termasuklah pepejal terampai, terlarut dan logam berat yang berbahaya.

“Sistem ini juga mampu mengurangkan kekeruhan air dan permintaan oksigen kimia,” jelas beliau.

Turut hadir ke program tersebut, Ketua Penolong Pegawai Daerah, Pejabat Daerah Muar, Mohd Fairul Surian; Provost UTHM Kampus-Cawangan Pagoh, Profesor Madya Ts. Dr. Mohd Kamarulzaki Mustafa, Staf dan Dekan FTK, Profesor Madya Ts. Dr. Jumadi Abdul Sukor serta wakil Persatuan Ibu Tunggal Batu Pahat.

“Pihak kami berharap perkongsian inovasi ini dapat memberi manfaat kepada penduduk kampung sekali gus mengeratkan lagi hubungan antara UTHM dan komuniti,” kata Dr. Mimi.

 

Sistem penapisan air bawah tanah yang telah siap dibina.

Berita ini juga telah diterbitkan dalam :

1. malaysiagazette.com, 14 julai 2022 : https://malaysiagazette.com/2022/07/14/penyelidik-uthm-bantu-komuniti-orang-asli-dapat-air-bersih/

2. sinarbestari.sinarharian.com, 15 Julai 2022 : https://sinarbestari.sinarharian.com.my/gen-z/inovasi/penyelidik-perkenal-sistem-penapisan-air-bantu-orang-asli-dapatkan-bekalan-air-bersih/

3. msn.com, 15 Julai 2022 : https://www.msn.com/en-my/news/berita/penyelidik-perkenal-sistem-penapisan-air-bantu-orang-asli-dapatkan-bekalan-air-bersih/ar-AAZAQju

4. johorchinapress.com, 18 Julai 2022 : https://johor.chinapress.com.my/20220718/%e6%95%a6%e5%a4%a7%e4%b8%ba%e5%8e%9f%e4%bd%8f%e6%b0%91-%e7%a0%94%e5%8f%91%e5%9c%b0%e4%b8%8b%e6%b0%b4%e8%bf%87%e6%bb%a4%e7%b3%bb%e7%bb%9f/