JOHOR BAHRU – Dua atlet Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) berjaya menduduki tempat ketika menyertai Kejohanan Sukan MAKSAK Games 2022 Olahraga Johor Bahru yang berlangsung di Stadium Olahraga Mount Austin pada 16 hingga 19 Jun 2022 lalu. 

Profesor Madya Ir. Ts. Dr Tan Lai Wai dari Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina telah memenangi Pingat Gangsa bagi acara 4 x 100 Larian Wanita Senior Veteran manakala Noradzuana Samiran dari Unit Audit mendapat tempat keempat bagi acara larian 3000 meter Wanita Junior Veteran.

UTHM yang mewakili pasukan Johor turut menghantar beberapa peserta lain iaitu Ts. Dr. Mahyuzie Jenal dari Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Suhailah Muhammad Philip dari Pejabat Hal Ehwal Pelajar dan Ismahani Shamsudin dari Pusat Teknologi Maklumat.

Kejohanan kali ini menyaksikan penyertaan 13 pasukan dari sektor perkhidmatan awam terpilih seluruh Malaysia termasuk pasukan yang mewakili negeri-negeri, Angkatan Tentera Malaysia dan Pasukan Polis Diraja Malaysia.

Majlis penutup dan penyampaian hadiah yang diadakan pada 19 Jun lalu disempurnakan oleh, Setiausaha Kerajaan Johor (Sukan, Belia dan Sukarelawan), Dato’ Haji On Jabbar@Jaafar merangkap Naib Yang Dipertua MAKSAK Johor.

Juara keseluruhan disandang oleh Pasukan PDRM, naib juara oleh ATM, tempat ketiga pula oleh Pasukan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur manakala negeri Johor mendapat tempat keempat sekali gus melayakkan mereka membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM1 ribu bagi setiap kategori olahragawan lelaki dan wanita.

Menurut Yang Dipetua Majlis Perbandaran Kulai, Haji Natazha Haris merangkap Pengerusi Olahraga MAKSAK Johor, sedikit insentif akan diberikan kepada atlet yang menyumbang pingat bagi kejohanan tahun ini.

UTHM melalui Pusat Sukan Universiti mengucapkan tahniah kepada atlet UTHM yang berjaya mewakili Pasukan Johor dan memenangi pingat pada tahun ini.

 

*Profesor Madya Ir. Ts. Dr Tan Lai Wai (tiga dari kanan) memenangi Pingat Gangsa bagi acara 4 x 100 Larian Wanita Veteran Senior.

*Noradzuana Samiran (tiga dari kanan) mendapat tempat keempat bagi acara larian 3000 meter Wanita Veteran Junior.