10 ribu pengunjung meriahkan penutup Jom Masuk IPT Zon Selatan 2022

BATU PAHAT – Kira-kira 10 ribu pengunjung hadir memeriahkan penutup Jom Masuk IPT (JMIPT) Zon Selatan bagi tahun 2022 yang berlangsung di Dewan Sultan Ibrahim, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) pada 24 dan 25 Jun lalu.

Selepas berakhirnya fasa satu yang melibatkan Zon Utara, Zon Tengah dan Zon Sarawak, program anjuran Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) ini diteruskan ke fasa dua melibatkan empat zon iaitu di Zon 5 Sabah (4 dan 5 Jun di Kota Kinabalu), Zon 6 Timur (11 dan 12 Jun di Universiti Malaysia Kelantan, Kelantan), Zon 7 Timur (17 dan 18 Jun di Universiti Sultan Zainal Abidin, Terengganu) dan Zon 8 Selatan (24 dan 25 Jun di UTHM Batu Pahat).

Proram ini dianjurkan bertujuan memberi dan menyebar luas informasi yang bermanfaat khususnya kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Matrikulasi dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) serta individu yang berhasrat melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

Majlis Perasmian Penutup Jom Masuk IPT 2022 yang diadakan pada 24 Jun 2022 disempurnakan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (KPPT), Profesor Dato’ Dr. Husaini Omar selaku wakil rasmi Menteri Pengajian Tinggi.

Menurut Pengarah Pejabat Pemasaran dan Komunikasi Korporat, Prof. Madya Ts. Dr. Raja Zuraidah Raja Mohd Rasi, UTHM telah menyediakan kira-kira 60 reruai pameran melibatkan penyertaan universiti awam dan swasta serta pelbagai agensi di seluruh negara, disertai dengan sesi konsultasi dan perkongsian informasi sepanjang dua hari program berlangsung.

Tambah beliau, program yang bermula pada jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang turut diisi dengan pelbagai aktiviti menarik lain antaranya seminar kemasukan pelajar, Career Talk: Inspirasi Kerjaya bersama Amin Idris, Sembang Santai bersama Alumni UTHM, persembahan kesenian dan kebudayaan, gerai jualan dan keusahawanan pelajar, produk showcase pelajar TVET dan demonstrasi Barista.

Turut diadakan, perkongsian informasi daripada agensi awam antaranya daripada Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Bahagian Pembangunan Kapasiti dan Latihan Pertanian (BPKLP).

Selain itu, JMIPT turut menjemput kira-kira 100 pelajar cemerlang lepasan SPM yang terdiri daripada masyarakat Orang Asli negeri Johor bagi menyertai  Seminar Hala Tuju Pelajar Lepasan SPM yang diadakan pada hari yang sama.

Manakala bagi menghargai kehadiran pengunjung, penganjur juga mengadakan sesi cabutan bertuah secara berkala di Dewan Sultan Ibrahim. Hadiah-hadiah menarik yang tersedia antaranya pek hamper, jam tangan, TV LED 42 inci dan alat peranti.

“Pihak UTHM akan sentiasa menyokong penganjuran program sebegini bagi memberi manfaat kepada masyarakat khususnya penduduk setempat.

“Pihak kami juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada KPT atas kepercayaan yang diberi bagi menjayakan penutup Jom Masuk IPT bagi tahun ini,” kata Dr. Raja Zuraidah.

 

*Majlis Perasmian Penutup Jom Masuk IPT 2022 disempurnakan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (KPPT), Profesor Dato’ Dr. Husaini Omar selaku wakil rasmi Menteri Pengajian Tinggi.

 

 

 

Categories
Berita Umum
Subscribe