BATU PAHAT, 9 Mei 2022 – Profesor Ts. Dr. Ruzairi Abdul Rahim dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) berkuatkuasa mulai 9 Mei 2022.

Pelantikan yang dibuat oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad itu adalah bagi tempoh tiga tahun iaitu sehingga 8 Mei 2025.

Pelantikan Prof. Ruzairi, 55 adalah bagi mengisi jawatan Naib Canselor UTHM yang sebelum ini disandang oleh Profesor Datuk Ts. Dr. Wahid Razzaly yang telah tamat tempoh lantikannya.

Sebelum ini beliau merupakan seorang Profesor dalam bidang Kejuruteraan Elektronik Instrumentasi dan berkhidmat di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai sebagai Dekan Fakulti Kejuruteraan.

Beliau pernah dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), UTHM bagi tempoh tiga tahun bermula 1 Disember 2016 sehingga 30 November 2019.

Lulusan PhD. dari Sheffield Hallam University, United Kingdom ini mempunyai kepakaran dalam bidang Process Tomography & Sensor Technology sehingga pernah dinobatkan sebagai Top Research Scientist Malaysia 2013 oleh Academic Science Malaysia.

Beliau yang dibesarkan dan bersekolah di Johor ini memulakan kerjayanya di UTM sejak 1998.

Sepanjang tempoh itu beliau telah meraih sebanyak 45 anugerah kecemerlangan di peringkat universiti dan juga antarabangsa. Beliau juga sangat aktif dalam bidang penerbitan termasuk penulisan buku dan jurnal dan telah menyelia lebih 30 pelajar Phd dan juga projek penyelidikan.

UTHM berharap dengan pengalaman luas yang ada pada Prof. Ruzairi mampu melonjakkan universiti ini sebagai Global Technopreneur University menjelang tahun 2030.

Seluruh warga UTHM mengucapkan tahniah di atas perlantikan tersebut dan diharapkan Prof. Ruzairi akan terus menyumbang idea dan kepakaran beliau demi mencapai Visi dan Misi universiti ini.