Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) amat prihatin dalam usaha membantu meringankan beban pelajar yang terkesan akibat kenaikan harga barang melalui beberapa pemberian insentif bantuan yang disediakan oleh pihak universiti di bawah Kluster UTHM Prihatin.

Menurut Naib Canselor UTHM, Profesor Ts Dr. Ruzairi Abdul Rahim, pihak universiti telah mensasarkan peruntukan sebanyak RM2 juta jumlah bantuan kepada pelajar yang berkeperluan.

Antara bentuk bantuan yang disediakan adalah Program Sabil Al-Hikmah, Program Food@Campus, Food Bank Siswa di setiap Kolej Kediaman, program ‘Nasi Bajet,’ bantuan zakat, bantuan ‘Dana Ihsan,’ serta pelan data dan alat peranti.

Tambah beliau sehingga Jun 2022, pihak universiti telah membelanjakan melebihi RM1 juta khusus kepada pelajar berkeperluan.

“Dengan pemberian bantuan tersebut, UTHM berharap dapat membantu meringankan beban kos sara hidup pelajar sepanjang tempoh pengajian mereka di kampus,” katanya.

Berikut adalah bantuan sara hidup yang telah disediakan kepada pelajar UTHM : 

1. Pihak universiti menyediakan bantuan makanan melalui program ‘Sabil Al-Hikmah’ kepada pelajar B40 yang terpilih. Pelajar perlu hadir ke kafetaria yang dilantik untuk mengambil makanan tersebut pada setiap hari.

2. Penyaluran bantuan tunai secara ‘one off’ melalui Program Food@Campus kepada pelajar B40 yang terpilih.

3. Penerimaan sumbangan makanan kering melalui ‘Foodbank Siswa’ dari pihak luar untuk diagihkan kepada pelajar B40 yang terpilih di kolej-kolej kediaman pelajar.

4. Program ‘Nasi Bajet’ dengan kadar harga yang berpatutan secara berjadual dan makanan percuma setiap Isnin dan Khamis bagi jamuan berbuka puasa kepada semua pelajar.

5. Bantuan zakat kepada pelajar asnaf yang layak pada setiap semester bagi bantuan sara hidup dan yuran pengajian melebihi RM400 ribu.

6. Bantuan dana ihsan kepada pelajar B40 bekeperluan bagi bantuan sara hidup, yuran pengajian, dermasiswa pelajar secara ‘one off’ dan bantuan bencana.

7. Seperti yang diumumkan Kementerian Pengajian Tinggi dalam satu kenyataan baru-baru ini, UTHM juga bersetuju melaksanakan moratorium bayaran sewaan selama enam bulan mulai Julai 2022 kepada pengusaha dan penyedia perkhidmatan makanan di dalam kampus agar tanggungan kos tersebut boleh membantu menurunkan harga makanan yang dijual kepada pelajar.

Pelajar boleh berhubung dengan Pejabat Hal Ehwal Pelajar dan pihak Kolej Kediaman untuk mendapatkan maklumat-maklumat bantuan yang disediakan oleh pihak universiti.

Bagi pelajar yang terkesan dan memerlukan khidmat kaunseling boleh mendapatkan khidmat nasihat melalui Pegawai Psikologi UTHM di Pusat Kaunseling universiti.

UTHM amat prihatin dengan situasi semasa dan kesulitan yang dialami para pelajar dan keluarga. Semoga usaha ini dapat membantu mengurangkan beban dan memudahkan urusan semua pelajar.

 

4 Julai 2022

Dikeluarkan oleh :

Pejabat Pemasaran dan Komunikasi Korporat
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)