Rancang jadual, jangan belajar di saat akhir – Mek Yun

Mek Yun ditemani keluarganya hadir ke Majlis Penyerahan Skrol Graduan.

BATU PAHAT, 21 Mei 2022 – Mek Yun atau Wee Yun Nee, graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) hari ini berkongsi rasa gembiranya apabila berpeluang naik ke pentas menerima skrol graduan.

Lebih manis lagi, Mek Yun juga berjaya meraih Anugerah Naib Canselor dan Anugerah Projek Sarjana Muda Terbaik bagi Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektrik.

Beliau yang kini bertugas sebagai Growth & Culture Executive di syarikat penerbangan AirAsia mula dikenali ramai apabila video pendek menerusi laman TikTok beliau mendapat perhatian serta tontonan warga maya.

Gadis cantik berusia 25 tahun itu menarik perhatian warga maya kerana kefasihannya bertutur dalam bahasa Melayu dan Inggeris selain kepetahannya bercakap dalam dialek Kelantan.

Pada ketika ini, Mek Yun mempunyai hampir 500,000 pengikut dalam laman TikTok dengan meraih kira-kira 7 juta tanda suka selain 187,000 pengikut pada laman Instagram.

Menurut Mek Yun, beliau berkongsi video-video pendek di laman TikTok dan Instagram bertujuan untuk memotivasikan golongan belia terutama pelajar.

Tambah beliau, sepanjang bergelar pelajar di UTHM, beliau perlu sentiasa bijak membahagi masa sehari-hari.

“Saya tidak mahu abaikan tugas sebagai pelajar walaupun pada ketika itu saya mula aktif sebagai Digital Content Creator,” katanya.

Hasilnya beliau pernah mendapat keputusan 4 Flat serta menerima beberapa anugerah emas dan perak ketika menyertai pertandingan bertemakan penyelidikan dan inovasi.

Beliau berpesan kepada bakal-bakal graduan agar tidak belajar di saat akhir bagi memastikan mereka tidak ketinggalan dalam menguasai apa yang dipelajari.

“Rancang dahulu jadual harian supaya kita lebih bersedia dan jika tidak faham tentang sesuatu topik, teruslah bertanya kepada pensyarah dan rakan-rakan,” katanya.

Untuk rekod, Istiadat Konvokesyen ke-21 UTHM yang berlangsung di Dewan Sultan Ibrahim, kampus induk pada kali ini menyaksikan seramai 4485 graduan pelbagai peringkat pengajian menerima sijil masing-masing.

 

 

Categories
ALUMNIKejuruteraan Elektrik dan Elektronik
Subscribe