PAGOH – Menyedari kepentingan keterampilan pelajar dalam menempuhi alam kerjaya selepas menamatkan pelajaran di universiti kelak, Kelab Teknologi Kejuruteraan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (ETeC UTHM) bersama Pusat Kemajuan Kerjaya dan Alumni (PKKA) telah menganjurkan program ‘Smart Pengurusan dan Penampilan Diri’ pada 13 Mei 2022 lalu.

Program yang berlangsung secara dalam talian melalui aplikasi Google Meet dan Facebook Live akaun media sosial rasmi kelab EteC ini disertai oleh 116 pelajar UTHM.

Tujuan program ini diadakan adalah untuk memberi pendedahan dan panduan kepada para pelajar untuk mempertingkatkan imej dan keterampilan diri sekali gus melahirkan pelajar yang beretika dan berkarisma.

Perunding Imej Profesional Bertauliah, Farah Lina Abd Rahim telah dijemput sebagai panel bagi menjayakan program tersebut. Beliau mempunyai berpengalaman luas dalam perundingan imej dan penampilan profesional.

Melalui program yang berlangsung selama empat jam itu, para pelajar diberi bimbingan dalam menjaga, mengurus imej serta penampilan diri.

Antara aspek yang telah disentuh termasuklah penjagaan imej dan penampilan dari sudut ‘facial hair’ atau solekan, pemakaian baju dan kasut yang bersesuaian, penjagaan kuku, pewangi dan bau badan serta penjagaan imej dan bau mulut.

Turut dibincangkan, gaya personaliti berdasarkan gaya pemakaian dan penampilan serta pemilihan pakaian yang bersesuaian dengan tempat, majlis dan suasana dari segi warna, rupa dan jenis pakaian.

Menurut Farah Lina, bagi membentuk personaliti yang baik, penting bagi kita untuk menjaga pandangan pertama (first impression) orang lain terhadap diri kita.

Katanya, jika ‘first impression’ seseorang itu gagal, ia perlu mengambil masa yang lama untuk memperbetulkan semula pandangan tersebut.

Tambah beliau, menurut Albert Mehrabien, seorang pakar psikologi Amerika Syarikat, pandangan pertama bermula apabila bertemu seseorang dalam tiga saat.

“Terdapat tiga perkara (3V) yang perlu dititikberatkan dalam pandangan pertama, iaitu  Visual (imej), Vokal (Nada Suara) dan Verbal (Perbuatan),” jelas beliau.

Di akhir program, para peserta turut diberi e-book panduan pemilihan cermin mata yang berpadanan dengan bentuk muka bersama-sama sijil penyertaan SMAP.

 

 

Cara yang betul pemakaian blazer bagi wanita.