Teknologi baharu selesaikan isu parkir kenderaan di kawasan bandar

Uji kaji di UTHM menunjukkan keadaan kenderaan yang diuji sebelum bergerak secara automatik ke belakang.

Kebanyakan kawasan bandar mempunyai parkir kenderaan yang terhad sehingga tidak dapat menampung jumlah pengguna di tempat tersebut. Ini termasuklah parkir di kawasan kediaman bertingkat seperti pangsapuri, hospital, pusat membeli belah dan premis-premis perniagaan.

Apabila parkir terhad maka berlakulah isu-isu seperti parkir berganda (double park), parkir di kawasan larangan dan ada juga yang sanggup berlakon cacat semata-mata untuk mendapatkan parkir khas orang kelainan upaya (OKU).

Rentetan daripada isu-isu tersebut, pelbagai masalah lain boleh berlaku apabila mangsa tidak berpuas hati kerana kenderaannya dihalang untuk keluar. Ini meningkatkan risiko kenderaan seperti dicalarkan, diletakkan sampah, pergaduhan atau bunyi hon yang bertalu-talu. Parkir di kawasan larangan pula menyebabkan gangguan lalu lintas dan meningkatkan risiko kemalangan jalan raya.

Beberapa solusi parkir telah dicadangkan oleh pelbagai pihak antaranya termasuklah sistem parkir bertingkat dan pembinaan kawasan perumahan berhampiran dengan kemudahan pengangkutan awam. Namun ini memerlukan kos yang tinggi dan memakan masa yang panjang.

Untuk solusi jangka masa pendek pula, kebiasaannya, pemilik kenderaan parkir berganda akan meninggalkan nombor telefon mereka pada kenderaan atau melepaskan brek tangan ketika parkir. Walau bagaimanapun, terdapat banyak kes pemilik terlupa untuk mengalihkan kenderaannya dengan segera, terlupa melepaskan brek tangan atau tidak sedar terdapat panggilan telefon daripada mangsa parkir berganda. Walaupun brek tangan dilepaskan, mangsa parkir berganda yang berkemungkinan merupakan orang tua atau wanita mengandung akan mengalami kesukaran untuk menolak kenderaan yang menghalang kenderaan mereka.

Pada hari ini, hampir kebanyakan kenderaan yang dibina memanfaatkan penggunakan sistem elektronik. Sistem seperti Adaptive Cruise Control (ACC) dan Automatic Emergency Braking System (AEBS) akan menggunakan bantuan radar dan pengesan (sensor) untuk mengesan jika terdapat sebarang kenderaan yang bergerak perlahan di dalam laluan kenderaan ACC atau AEBS. Jika kenderaan bergerak perlahan dikesan, sistem ACC akan memperlahankan kenderaan dan mengawal jurang masa antara kenderaan ACC dan kenderaan hadapan. AEBS pula akan menjangkakan kemungkinan berlakunya pelanggaran dengan kenderaan hadapan dan sistem akan membrek kenderaan secara automatik untuk mengelakkan pelanggaran.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, sistem komunikasi kenderaan yang lebih maju telah mula dibincangkan. Ini termasuklah komunikasi di antara kenderaan dengan kenderaan yang lain bagi mengelakkan perlanggaran, mengawal kelajuan dan pecutan, menambah baik masa perjalanan dan menjimatkan masa berhenti di persimpangan.

Jika diperhalusi, sistem-sistem canggih yang telah dibangunkan oleh industri permotoran ini dapat dilaraskan dan dimanfaatkan dalam mengurus isu parkir. Dengan pengesan canggih yang mampu mengesan kenderaan di hadapan dan belakang, juga boleh mengawal pergerakan dan kelajuan kereta, kemungkinan digunakan dalam menyelesaikan isu parkir berganda dapat dilakukan.

Kajian dan percubaan terhadap kenderaan parkir automatik telah dilakukan oleh penyelidik-penyelidik di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) diketuai oleh Dr Muhammad Rusydi Muhammad Razif dengan kerjasama industri automotif, R&R Glocal Service. Kajian memberi tumpuan kepada pembangunan sistem kenderaan yang boleh bergerak dan berhenti secara automatik dalam sela waktu tertentu untuk megalihkan posisi kenderaan dalam parkir berganda.

Sistem akan mula dihidupkan apabila pengesan mengesan bunyi hon dari kenderaan yang disekat. Kemudian, sistem akan menghidupkan enjin kenderaan secara automatik dan mengalihkan kedudukan gear daripada neutral kepada gear undur. Pada masa yang sama, sistem brek akan dilepaskan kira-kira lima saat, apabila tiada sebarang halangan atau kenderaan di belakang. Masa dilaraskan kepada lima saat kerana ianya berupaya mengalihkan kenderaan sejauh 3.45 meter dan memadai untuk sesebuah kenderaan yang disekat meninggalkan tempat letak kereta.

Menurut salah seorang penyelidik kumpulan terbabit, Mohamad Ridzwan Hosaini, jika terdapat sebarang halangan di belakang kenderaan, sistem tidak akan melepaskan brek dan kenderaan tidak akan bergerak. Selepas sistem dihidupkan dan pengalihan kenderaan berjaya atau tidak, sistem akan menghantar pemberitahuan khidmat pesanan ringkas (SMS) ke telefon bimbit pemilik kenderaan untuk memaklumkan status kenderaan mereka.

Idea yang sama dijangka dapat menyelesaikan isu parkir kenderaan di kawasan bandar dengan dibantu oleh beberapa pembangunan infrasturuktur ringkas seperti garisan khas untuk parkir berganda di kawasan-kawasan parkir.

 

 

 

Dr. Muhammad Rusydi Muhammad Razif

Fakulti Teknologi Kejuruteraan

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

Categories
E-WacanaRencana
Subscribe