Garap nilai positif masyarakat Jerman

Negara Jerman merupakan sebuah negara yang terkenal dengan teknologi yang maju terutamanya dalam bidang automotif. Negara tersebut yang memiliki populasi 82 juta orang penduduk juga terdiri daripada pelbagai kaum dan bangsa, sama seperti Malaysia. Penulis tertarik untuk berkongsi beberapa nilai serta budaya masyarakat Jerman yang dirasakan baik dan wajar digarap ke dalam masyarakat tempatan.

 

Menjaga alam sekitar

Jika dibandingkan kesedaran dalam menjaga alam sekitar antara rakyat Jerman dan rakyat Malaysia, kita dapat melihat satu jurang yang amat besar. Masyarakat Malaysia secara amnya kurang menitikberatkan penjagaan alam sekitar dan kesedaran itu sendiri masih kurang dalam diri setiap individu.

Di negara Jerman mereka mementingkan setiap isi rumah mengasingkan sampah dan membuang ke dalam tong mengikut jenis sampah yang telah ditetapkan. Terdapat beberapa kod warna yang mewakili jenis sampah tertentu yang perlu diasingkan seperti biru (untuk kertas dan kadbod), kuning/oren (untuk plastik dan besi), hijau/putih (untuk kaca), coklat (untuk bahan buangan terbiodegradasi) dan hitam/kelabu (lain-lain). Walaupun di Malaysia terdapat sistem yang lebih kurang sama, tetapi kerana kurangnya penguatkuasaan dan jumlah tong-tong kitar semula ini agak kurang, ia seolah-olah satu usaha yang hangat-hangat tahi ayam.

Lebih menarik lagi bagi menjaga alam sekitar, negara Jerman ada mewujudkan sistem pemulangan botol ke pasar raya dan pemberian wang insentif bagi menggalakkan masyarakatnya mengitar semula barangan. Penduduknya hanya perlu memulangkan semula botol kosong yang boleh dikitar semula ke pasar raya dan mereka mampu mendapat bayaran sehingga 25 sen bagi setiap botol.

 

Menepati masa

Masyarakat Jerman amat terkenal dengan budaya menepati masa. Mereka tidak akan lewat apabila berjanji temu. Kelewatan hadir ke sebarang urusan rasmi mahu pun janji temu tanpa alasan yang kukuh dianggap sesuatu yang tidak boleh diterima bagi kebanyakan masyarakat Jerman. Hal ini kerana, kelewatan tersebut akan mengakibatkan orang lain yang berurusan terpaksa membuang masa dengan menunggu.

Budaya menepati masa ini dapat dilihat juga dalam pelbagai sudut kehidupan seharian mereka. Sebagai contoh, jika diberi tempoh akhir untuk menyiapkan tugasan, tempoh itu mestilah ditepati. Selain itu, jika berlangsungnya mesyuarat haruslah bermula dan tamat pada masa yang telah ditetapkan. Bahkan, waktu pengangkutan awam tiba seperti bas dan kereta api juga kebiasaannya akan menepati jadual.

Hal ini berlawanan dengan budaya rakyat Malaysia yang sudah terbawa-bawa dengan ‘janji Melayu’ sejak sekian lama. Apabila disebut sahaja perkataan ‘janji Melayu,’ sudah pastinya ia memberi satu konotasi ataupun persepsi yang negatif. Jika dilakukan sekali dua dengan alasan yang munasabah mungkin masih boleh dimaafkan. Namun, jika sering dilakukan dan terbiasa sehingga menjadi norma, sudah pastinya tabiat tersebut harus dibuang. Sudah tiba masanya untuk kita belajar menghormati masa orang lain.

Produktif dalam pekerjaan

Negara Jerman juga memiliki budaya kerja yang sangat produktif. Tidak ada istilah santai sewaktu bekerja dengan bermain media sosial, berbual kosong dan bergosip dengan rakan sekerja, apatah lagi melakukan perkara sampingan yang lain. Hal ini mungkin dianggap sesuatu yang agak membebankan dan membosankan bagi masyarakat Malaysia, namun tidak bagi masyarakat Jerman.

Budaya kerja di Jerman amat menitikberatkan fokus dalam mencapai matlamat kerja. Kualiti kerja dianggap lebih penting berbanding kuantiti. Bagi mereka, tempoh bekerja yang panjang dalam sehari tidak semestinya dapat menjamin produktiviti kerja. Bermula tahun 2013 juga, terdapat undang-undang di negara Jerman yang melarang majikan untuk menghubungi kakitangan mereka di luar waktu bekerja kecuali atas urusan kecemasan. Garis panduan yang dilaksanakan itu jelas menunjukkan betapa kerajaan Jerman mengambil berat akan kesihatan mental rakyat mereka.

Para pekerja di negara Jerman tidak akan bekerja lebih masa jika tidak ada keperluan yang mendesak dan waktu hujung minggu mereka tidak akan diganggu oleh urusan kerja. Oleh itu, tidak hairanlah jika mereka boleh memisahkan pekerjaan dengan kehidupan peribadi. Selepas tamatnya waktu bekerja, mereka akan meluangkan masa bersama keluarga memandangkan waktu tersebut dianggap sebagai waktu istirehat. Walaupun selepas habis waktu bekerja mereka mungkin sahaja keluar dengan rakan sepejabat untuk minum, perbualan mereka tidak lagi menjurus ke arah urusan kerja.

Antara nilai dan budaya masyarakat Jerman di atas, yang mana satukah mampu untuk diimplementasikan ke dalam masyarakat kita di Malaysia? Hal ini mungkin dilihat sukar untuk dilaksanakan, tetapi bukanlah sesuatu yang mustahil. Mungkin ada sahaja yang beranggapan tidak perlu untuk mengikuti budaya orang luar berbanding budaya sendiri. Namun, jika budaya dan nilai tersebut baik, tidak salah untuk kita ikuti. Siapa tahu bumi bertuah tanah tumpah darah Malaysia ini mampu mengorak langkah menjadi negara maju seiring dengan menghasilkan masyarakat bermentaliti kelas pertama suatu hari nanti.

 

 

Farhana Abd Hamid

Jabatan Bahasa Antarabangsa

Pusat Pengajian Bahasa

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

Categories
E-WacanaRencana
Subscribe