Royal Institution of Surveyors Malaysia (RISM) merupakan badan professional atau NGO pertama di Malaysia yang menerima penganugerahan Diraja. Pada 28 Mac 2011, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj berkenan mengurniakan taraf Diraja kepada Institut Juruukur Malaysia (ISM).

Institusi ini terdiri daripada empat bahagian yang berbeza tetapi berkait rapat antara satu sama lain iaitu Bahagian Geomatik dan Ukur Tanah, Bahagian Ukur Bahan, Bahagian Ukur Harta Tanah dan Bahagian Ukur Bangunan.  Keempat-empat bahagian ini memegang gelaran yang sama di bawah naugan RISM iaitu surveyor (Sr).

Empat ‘Sr’ ini mempunyai peranan yang berbeza namun matlamat mereka adalah sama iaitu bertindak sebagai seorang juruukur profesional dalam pembangunan negara mampan.

Juruukur tanah (GLS) ialah seorang profesional yang mempunyai kelayakan akademik dan kepakaran teknikal untuk mempraktikkan sains pengukuran, mengumpulkan dan menilai maklumat berkaitan tanah dan geografi. Mereka juga menggunakan maklumat tersebut untuk tujuan merancang dan melaksanakan pentadbiran darat, laut dan struktur di atasnya.

Manakala juruukur bahan (QS) pula ialah seorang profesional pembinaan. Mereka adalah pakar dalam kos pembinaan dan pengurusan projek pembinaan sama ada bangunan, kejuruteraan awam mahupun kejuruteraan berat.

Sr seterusnya merupakan perisik pasaran tanah yang tidak asing lagi iaitu juruukur harta tanah (PS). Mereka adalah profesional berkelayakan yang dilatih untuk menyediakan perkhidmatan pakar dalam hartanah kepada pelanggan yang terdiri daripada syarikat, institusi, badan berkanun, pemilik, pelabur, tuan tanah dan penyewa. Mereka bekerja sebagai penilai, pengurus hartanah, ejen hartanah dan perunding harta.

Sr bagi Juruukur Bangunan (BS) pula menawarkan perkhidmatan pakar mengenai perkara yang berkaitan dengan pembangunan bangunan dan hartanah seperti pengurusan projek dan pembinaan, penyelenggaraan dan pembaikan bangunan, pengubahsuaian dan pemulihan hartanah lama, undang-undang dan peraturan bangunan, kerja-kerja perobohan dan pembangunan hartanah. Mereka juga bertindak sebagai penghubung penting dalam projek antara semua profesion gabungan seperti arkitek, jurutera, perancang dan Pembina serta menyediakan perkhidmatan perhubungan dan perundingan dengan pihak berkuasa awam dan tempatan untuk pelanggan.

RISM merupakan badan profesional yang sangat unik kerana mempunyai ahli dari bidang yang berbeza namun mampu mendukung misi dan visi yang sama demi pembangunan negara mampan.

 

 

 

Sr Ts. Dr. Nazirah Mohamad Abdullah

Pensyarah Kanan Geomatik

Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)